Ad

Thursday 28 July 2016

BUNGA RAYA DIISYTIHARKAN SEBAGAI BUNGA KEBANGSAAN

Pada hari ini 28.7.1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum pengisytiharan ini dibuat, Menteri Pertanian Persekutuan Tanah Melayu telah meminta pandangan umum tentang pemilihan bunga kebangsaan. Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk pemilihan iaitu; bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.

Mengikut pemilihan umum, bunga mawar telah mendapat undian paling besar dari penduduk Pantai Timur sementara penduduk Pantai Barat memilih bunga melur. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah memilih bunga raya untuk dijadikan Bunga Kebangsaan berdasarkan kriteria-kriteria berikut:  
(a) Bunga raya terkenal di kalangan masyarakat -contohnya ialah bunga ini dijadikan pagar rumah. 
(b) Warnanya menandingi warna bunga-bunga lain, warnanya hidup, gembira, girang, gilang-gemilang dan merah itu melambangakan keberanian. 
(c)  Kelopaknya yang lebar dan melentur tidak kurang cantiknya daripada bunga-bunga lain.
(d) Pokoknya berbunga sepanjang masa dan tidak ada musim. la boleh ditanam dengan mudah, cuma disemai dari potongan dahannya sahaja.
Bunga raya juga dikenali sebagai "Queen of Tropical Flowers". Bunga raya telah digunakan sebagai simbol untuk logo, lencana, bendera, setem, sampulsurat dan tekstil seperti batik dan songket.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

No comments:

Post a Comment