Ad

Tuesday, 26 July 2016

Punca suhu negara kita panas

ARKIB : 16/02/1998
 
DR. LIM Joo Tick menunjukkan gambar satelit pembentukan awan di kawasan Asia Tenggara.

''KERANA El-Nino.'' Begitulah jawapan yang sering diberikan apabila persoalan mengenai keadaan cuaca yang agak luar biasa dikemukakan pada masa ini.

'Populariti' El-Nino juga menyebabkan orang mudah mengaitkan keadaan cuaca yang agak panas sekarang ini dengan fenomena tersebut.

Hakikatnya, rekod suhu yang ada pada Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca menunjukkan ini bukanlah kali pertama keadaan panas sebegini dialami di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kaji Cuaca, Dr. Lim Joo Tick, stesen Petaling Jaya pernah mencatatkan suhu tertinggi 37 darjah Celsius pada April 1979, dan 36.8 darjah Celsius pada Mac 1983 dan Mei 1979.

''Malah stesen Chuping (Perlis) pernah mencatatkan suhu 38.4 darjah Celsius pada Februari 1982 dan April 1983, lebih tinggi daripada suhu di Kuala Lumpur (37 darjah Celsius pada 11 Februari 1998),'' katanya.

Beliau berkata, keadaan panas yang dialami sekarang adalah biasa kerana dalam tahun-tahun di mana tidak ada pengaruh El-Nino, tempoh antara bulan Januari hingga April sememangnya merupakan musim panas di seluruh negara.

Menurutnya, berdasarkan rekod purata hujan tahunan, hampir semua kawasan di Semenanjung menerima jumlah hujan yang rendah dalam tempoh ini yang merupakan tempoh akhir monsun timur laut.

''Hujan lebat biasanya diterima semasa awal monsun timur laut iaitu pada bulan November hingga Disember,'' tambah beliau.

Dr. Lim bagaimanapun mengakui keadaan yang dirasakan agak luar biasa panasnya ini ada kaitannya dengan fenomena El-Nino tetapi kesan fenomena itu tidaklah teruk di negara kita sebagaimana di beberapa negara lain.

''Kita cuma menghadapi cuaca yang agak panas sedikit berbanding biasa, sedangkan di Indonesia terutamanya di Pulau Jawa yang sepatutnya berada dalam musim panas sekarang, kini menerima hujan lebat.''

Tambahan pula, ujarnya, fenomena El-Nino yang bermula pada Mei tahun lalu kini berada dalam peringkat yang lemah setelah mencapai kemuncaknya pada bulan Disember dan Januari lalu. Fenomena ini biasanya mempunyai kitaran selama setahun.

Selain El-Nino, keadaan panas yang dialami sekarang ini mempunyai kaitan dengan beberapa faktor lain, ujar pensyarah dari Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pensyarah Meteorologi/Sains Atmosfera di Jabatan Geografi, Dr. Mastura Mahmud berkata, keadaan ini juga disebabkan oleh faktor klimatologi (iklim semula jadi) dan musim panas yang berlaku di hemisfera selatan.

''Sekarang kita semakin hampir kepada ekuinoks, yang akan berlaku pada 21 Mac ini apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.

Pada masa ini, matahari sedang bergerak dari kawasan hemisfera selatan ke hemisfera utara, dan semasa ekuinoks itu kita mungkin akan mengalami panas terik,'' jelasnya.

Sementara musim panas di hemisfera selatan pula menyebabkan pemeluwapan lebih banyak berlaku di kawasan tersebut.

''Awan lebih cenderung terbentuk di kawasan itu, dan membawa hujan lebat di kawasan berkenaan,'' tambahnya.

''Bagaimanapun, kerana fenomena El-Nino, suhu permukaan laut di perairan kita kurang panas daripada biasa, dan ini menyebabkan tidak banyak air yang terpeluwap.

Awan lebih banyak terbentuk di kawasan Lautan Pasifik yang lebih panas.

''Negara kita termasuk dalam kawasan udara mendap di mana hanya awan nipis yang terbentuk, tidak awan tebal atau awan yang membawa hujan. Tanpa fenomena El-Nino, kawasan udara mendap ini biasanya terjadi berhampiran benua Afrika dan di Lautan Pasifik,'' jelasnya.

Ketiadaan awan ini juga menyebabkan keadaan di bumi lebih panas kerana tidak ada awan yang melindungi pancaran matahari daripada sampai ke bumi.

''Sinaran matahari itu diserap oleh tanah. Kediaman yang diperbuat daripada batu juga akan terasa berbahang pada waktu malam kerana batu bangunan itu akan menyimpan haba pada siangnya yang terbebas pada waktu malam.''

Menurut Dr. Mastura, berdasarkan gambar satelit yang diterima, hujan diramalkan berkurangan sepanjang bulan Februari, Mac dan April ini. Keadaan ini dijangka baik sedikit pada bulan Mei, Jun dan Julai sungguhpun pada tempoh itu hujan juga dijangka berkurangan daripada biasa.

Beliau berkata, sesetengah saintis menganggap kejadian El-Nino pada tahun ini adalah yang paling buruk sejak fenomena itu direkodkan pada 1951. ''Ini kerana fenomena pada tahun ini menyebabkan berlaku kenaikan suhu mendadak dalam tempoh yang singkat.''

El-Nino adalah fenomena pemanasan suhu permukaan laut yang berlaku setiap tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran luar pantai Peru. Kejadian ini menyebabkan rantaian perubahan iklim di seluruh dunia, membawa hujan lebat di sesetengah kawasan dan kemarau panjang di kawasan lain.

Fenomena El-Nino 1982-1983 menyebabkan banjir di California, dan kemarau yang teruk di Australia dan Indonesia, serta di beberapa bahagian Amerika Selatan dan Afrika. Ia dianggap fenomena El-Nino terburuk pada kurun ini, mengakibatkan kerosakan harta benda berjumlah AS$13 bilion dan mengorbankan lebih 2,000 nyawa.

Para saintis meramalkan kesan besar fenomena itu terhadap Asia Tenggara ialah kemarau yang akan menjejaskan sektor pertanian di rantau ini sedangkan lebih separuh penduduknya mengusahakan pertanian secara aktif untuk ekonomi.

Menurut mereka, negara yang akan terjejas teruk akibat fenomena ini adalah yang tidak mula merancang untuk masa depan terutamanya berhubung pengurusan sumber air.

El-Nino biasanya berlaku menjelang Krismas. Namun pada tahun ini fenomena itu bermula lebih awal iaitu pada bulan Mei. Ia biasanya berlarutan selama setahun.

''Sukar untuk memastikan bila fenomena El-Nino ini akan berakhir,'' ujar Dr. Mastura. ''Sesetengah saintis meramalkan ia akan berakhir pada bulan April, ada juga meramalkan pada bulan Jun. Malah ada yang meramalkan ia akan berterusan sepanjang tahun ini.''

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berjimat menggunakan air kerana hujan yang agak kurang daripada biasa ini akan menjejaskan sumber air. Bagi mengatasi masalah ketiadaan hujan ini, pastinya banyak yang teringatkan kaedah pembenihan awan. Kaedah ini ada sebagai pilihan kata Dr. Lim, tetapi ia dijangka tidak berhasil kerana tiada awan terbentuk di ruang udara Malaysia buat masa ini.

Sambil turut mengingatkan orang ramai mengamalkan penjimatan air, Dr. Lim bagaimanapun optimistik yang keadaan panas kering ini akan berakhir beberapa bulan lagi.

''Menjelang Mei, keadaan panas kering ini akan berakhir. Hujan akan kembali seperti biasa sekiranya tidak ada gangguan daripada fenomena tersebut,'' ujar Dr. Lim, ''namun jika fenomena itu berterusan, pastinya kita akan merasai kesannya.''
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4FVpz1iqB © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment