Ad

Saturday, 16 July 2016

Olimpik diboikot buat kali pertama

Olimpik diboikot buat kali pertama
SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  17 Julai 2016 12:09 AM
Permulaan perlumbaan acara jalan kaki 50 kilometer sempena Sukan Olimpik Melbourne 1956.

SUKAN Olimpik Melbourne-Stockholm 1956 merupakan sebuah temasya yang unik kerana terpaksa melanggar piagam Olimpik buat kali pertama dalam tempoh 100 tahun penganjurannya ekoran tidak mematuhi masa dan ve­nue penganjuran sebagaimana kebiasaan.
Perkara itu berlaku kerana undang-undang kuarantin yang ketat di Australia sehingga menjejaskan proses kemasukan kuda yang digunakan dalam acara ekuestrian.
Bagi mengatasi masalah itu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) memutuskan acara ekuestrian diadakan secara berasingan dan lebih awal di Stockholm, Sweden pada bulan Jun.
Semua acara lain diadakan di Melbourne bermula pada bulan November kerana musim panas di Australia yang terletak di Hesmifera Selatan baharu sahaja bermula.
Dengan itu, temasya pada tahun berkenaan memiliki keunikan tersendiri kerana berlangsung di dua bandar, dua negara, dua benua iaitu Eropah dan Oceania dan musim yang berbeza (Jun dan November).
Bagaimanapun, temasya berkenaan menyaksikan jumlah penyertaan atlet merosot teruk kerana tindakan memboikot oleh beberapa negara selain lokasi Australia sendiri yang jauh.
Pemboikotan tersebut berlaku kerana antara bulan Jun hinggalah temasya berlangsung, dunia berdepan dengan kekacauan.
Ia bermula dengan pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Sinai di Mesir diikuti pencerobohan oleh 200,000 tentera Kesatuan Soviet ke atas Budapest, Hungary pada 4 November 1956 dengan alasan untuk mematahkan pemberontakan politik di negara itu.
Berikutan itu, Mesir, Lebanon dan Iraq menarik diri sebagai protes terhadap tindakan Israel manakala Belanda, Sepanyol dan Siwtzerland berbuat demikian bagi membantah tindakan Kesatuan Soviet.
Protes berkenaan merupakan pemboikotan sebenar buat kali pertama dalam sejarah Olimpik moden. China juga enggan menghantar kontinjen kerana membantah penyertaan Taiwan. Konflik ini mengambil masa 28 tahun untuk diselesaikan.
Gold Coast, Guatemala dan Pa­nama turut tidak menyertai temasya, namun motif mereka tidak dapat dipastikan sama ada ia sebahagian daripada boikot yang dirancang atau berikutan lokasi yang jauh dengan Australia.
Temasya itu juga menyaksikan dua olimpian terkemuka Australia membuat penampilan pertama dalam Olimpik.
Salah seorang daripada mereka ialah Murray Rose, pe­renang gaya bebas yang berusia 17 tahun pada masa itu.
Dalam penampilan buat kali pertama itu, Rose meraih emas dalam acara 400 dan 1,500 meter serta 4x200m gaya bebas berganti-ganti.
Secara keseluruhan, Sukan Olimpik 1956 dikuasai oleh Kesatuan Soviet yang mengumpul 98 pingat, manakala Amerika Syarikat di tempat kedua de­ngan 74 pingat.

Sumber:http://www.utusan.com.my/sukan/olimpik-diboikot-buat-kali-pertama-1.354494#sthash.aogB444Q.dpuf

No comments:

Post a Comment