Ad

Tuesday, 19 July 2016

PERDANA MENTERI MEMBENTANGKAN RANCANGAN MALAYSIA KETIGA DI PARLIMEN

Pada hari ini 19.07.1976, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn telah membentangkan usul Rancangan Malaysia Ketiga (RMK 3) Peringkat kedua dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Parlimen. Ketika bangun membacakan usul itu Datuk Hussein Onn antara lain berkata bahawa keupayaan dan pencapaian usaha yang dilaksanakan dalam peringkat pertama DEB melalui RMK 2 menggalakkan Kerajaan meneruskan usaha mencapai tujuan penting terhadap perpaduan negara melalui pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, dan penyusunan semula masyarakat Malaysia serta berusaha memperkukuhkan lagi keselamatan negara. RMK 3 dibentuk dengan mengambil perhitungan pengalaman yang diperolehi dari usaha memajukan pembangunan ekonomi dan sosial, dengan menentukan tempoh pembangunan di samping keupayaan ekonomi kita yang sedang berkembang mengambil kesempatan dari keadaan perdagangan dunia yang bertambah baik. Selaras dengan usaha-usaha memperbaiki daya pengeluaran golongan yang miskin di kawasan pertanian, tanah baru akan dibuka dan dimajukan sebagai kawasan penempatan yang dapat memberikan peluang pekerjaan yang produktif kepada mereka yang tidak bertanah atau mempunyai bidang tanah yang tidak ekonomik. Di samping itu pembangunan di negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak akan diutamakan bagi mengurangkan jurang perbezaan ekonomi di kalangan negeri-negeri. Kerajaan juga akan berusaha menambahkan peruntukan hak milik modal saham syarikat bagi orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain. Sehubungan dengan ini satu tabung pelaburan bumiputera akan ditubuhkan bagi membantu bumiputera yang terhad pendapatannya. Tujuan dasar RMK 3 untuk memberi faedah kepada semua golongan di mana program mengurangkan kemiskinan memberi faedah kepada semua rakyat miskin dari semua kaum. Sementara itu program penyusunan semula disusun untuk memperbaiki dengan lebih progresif dan serentak keadaan sosio ekonomi semua golongan masyarakat dalam semua sektor di mana mereka berada sekarang. Malah program yang dirangka khusus untuk orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain akan menghasilkan faedah kepada kaum-kaum yang lain kerana mereka juga turut serta dalam perlaksanaan semua projek ini dengan sentiasa berurusan dengan agensi kerajaan, orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lainnya.


No comments:

Post a Comment