Ad

Friday 22 July 2016

Yeltsin letak jawatan Presiden Rusia

ARKIB : 01/01/2000
MOSCOW 31 Dis. - Presiden Rusia, Boris Yeltsin mengumumkan di televisyen nasional hari ini bahawa beliau meletak jawatan dan pilihan raya Presiden akan diadakan dalam tempoh 90 hari bagi menggantikannya.

Pengumuman itu menyebabkan Rusia benar-benar terkejut, dan dipercayai mengheret negara itu ke dalam satu lagi krisis politik kerana parti-parti berusaha keras untuk pilihan raya Presiden yang tidak dijangka itu.

Kelihatan pucat dan bersemangat dalam ucapan di televisyen nasional, Yeltsin, 68, berkata, beliau telah menyerahkan kuasanya kepada Perdana Menteri Vladimir Putin, calon kegemarannya untuk menggantikan sebagai Presiden.

''Hari ini, pada hari terakhir abad ini, saya meletak jawatan,'' kata Yeltsin.

Peletakan jawatan itu dipercayai mengambil kesempatan ke atas kejayaan parti-parti pro-Kremlin berhaluan tengah dalam pilihan raya Parlimen baru-baru ini.

Parti-parti yang menyokong Putin memperoleh keputusan yang baik, dan mengukuhkan usaha bagi meletakkannya ke Kremlin sebagai pengganti Yeltsin.

Menurut perlembagaan Rusia, pilihan raya Presiden perlu diadakan dalam tempoh 90 hari selepas Presiden meletak jawatan.

Putin akan bertindak selaku presiden dalam tempoh peralihan, membolehkan beliau memperoleh kelebihan dalam persaingan merebut jawatan presiden.

Ini adalah satu lagi tindakan Yeltsin yang tidak disangka-sangka sepanjang tempoh dua penggal membawa Rusia melepasi cabaran yang ditempuhi.

Yeltsin yang didakwa terbabit dalam rasuah kebelakangan ini, dilaporkan berusaha untuk mendapatkan jaminan keselamatan untuk keluarga dan dirinya apabila meletak jawatan. - AP




SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_04.htm#ixzz4F82dfPIf © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment