12 Julai 2016 12:12 AM
PENJAGA gol Perancis, Hugo
Lloris dan Moussa Sissokho ditenangkan oleh pemain simpanan Eliaquim Mangala
selepas perlawanan di mana mereka kalah 0-1 kepada Portugal semalam. REUTERS
PARIS 11 Julai - Dua kali
Cristiano Ronaldo menitiskan air mata ketika perlawanan akhir Euro 2016.
Tangisan pertama disebabkan penyerang Portugal itu terpaksa dikeluarkan akibat
kecederaan, kedua ketika menyaksikan rakan sepasukannya melakar sejarah apabila
menewaskan Perancis untuk muncul juara.
Apabila dia mengalami
kecederaan lutut pada pertengahan babak pertama di Stade de France, insiden itu
kelihatan akan menjadi permulaan kepada igauan buruk Pemain Terbaik Dunia tiga
kali itu.
Bagaimanapun penyerang gantian,
Eder menceriakan kem Portugal apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada
masa tambahan untuk menewaskan tuan rumah 1-0 sekali gus menjulang trofi juara
kejohanan utama buat kali pertama.
“Hari ini saya berasa sedih dan
gembira. Apa yang saya boleh katakan adalah ini merupakan salah satu detik
terindah dalam hidup saya. Saya menangis,” kata Ronaldo ketika meraikan
kemenangan bersama rakan sepasukannya.
Semasa ketiadaan Ronaldo,
penyerang Lille, Eder muncul wira pasukan dan bintang Real Madrid itu
menegaskan dia dapat merasakan sesuatu yang baik bakal berlaku kepada Portugal.
“Saya merasakan dia bakal
menyelesaikan masalah pada masa tambahan. Saya bukannya ahli sihir atau boleh
melihat masa depan namun saya sentiasa mengikut gerak hati,” kata Ronaldo lagi.
Ronaldo menerima asakan keras
daripada pemain tengah Perancis, Dimitri Payet pada minit kelapan permainan.
Dia dilihat terbaring di atas padang sambil mengerang kesakitan dan kemudian
dibawa keluar untuk menjalani rawatan sebelum menyambung semula perlawanan.
Selang beberapa minit, Ronaldo
sekali lagi keluar padang untuk membalut kakinya. Bagaimanapun pada minit ke-24
dia meminta dikeluarkan kerana tidak lagi mampu menahan kesakitan.
Dia menanggalkan lilitan kapten
dan kemudian menangis sewaktu diusung keluar padang untuk digantikan dengan
Ricardo Quaresma.
Penyerang berusia 31 tahun itu
sebelum ini terlepas peluang untuk menjulang trofi kejohanan selepas tewas 1-0
kepada Greece dalam final Euro 2004 di laman sendiri dan kekalahan tersebut
memberi kesan mendalam kepadanya.
Sebelum perlawanan bermula,
Ronaldo pernah berkata bahawa dia mahu menitiskan air mata kegembiraan,
bagaimanapun tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaannya selepas ramalannya
itu menjadi kenyataan.
Dalam pada itu, walaupun telah
melakukan kekasaran namun Payet terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan
oleh pengadil Mark Clattenburg, sesuatu yang mengecewakan jurulatih Portugal,
Fernando Santos.
“Saya fikir pengadil sepatutnya
memberikan kad. Saya menghormati keputusan pengadil, saya fikir mereka tidak
berat sebelah dan jujur namun saya fikir dia patut memberikan sesuatu malah dia
tidak meniup wisel menandakan telah berlaku kesalahan,” kata Santos.
Ronaldo akhirnya mendapat satu
pingat kejohanan besar untuk diletakkan bersama-sama koleksi pelbagai anugerah
pencapaiannya yang dimenangi bersama Real Madrid dan Manchester United - termasuk
anugerah Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali.
Dia kini berada satu takuk di
depan pesaing peribadinya Lionel Messi dari Argentina, yang bersara daripada
bola sepak antarabangsa selepas kalah kepada Chile dalam perlawanan akhir Copa
America baru-baru ini.
Ketika 109 minit berlalu, Eder
berjaya menewaskan asakan Laurent Koscielny untuk melepaskan sepakan dari luar
kotak penalti yang tidak mampu dicapai oleh ketua pasukan dan penjaga gol tuan
rumah Hugo Lloris.
Perancis memulakan perlawanan
selaku pasukan pilihan selepas mereka menewaskan Jerman 2-0 dalam separuh akhir
dan mereka menguasai perlawanan hari ini.
Namun mereka tidak mampu
memecahkan benteng Portugal yang menyaksikan Pepe begitu kebal manakala penjaga
gol Rui Patricio membuat beberapa penyelamatan dramatik.
Antoine Griezmann menjaringkan
kedua-dua gol perlawanan menentang Jerman itu tetapi hari ini dia tidak mampu
membolosi pertahanan Portugal.
Dia bagaimanapun berjaya
membuat percubaan pada awal permainan tetapi tandukannya ditepis keluar oleh
Patricio.
Moussa Sissoko pula melepaskan
rembatan yang sedikit tinggi di atas palang manakala pemain gantian
Andre-Pierre Gignac menyaksikan percubaannya mengenai tiang. – AFP
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ronaldo-portugal-akhirnya-julang-piala-1.352275#sthash.dFoIA5VH.dpuf
No comments:
Post a Comment