Ad

Friday 22 July 2016

Pendidikan tadika mungkin diwajibkan

ARKIB : 02/01/2000
PULAU PINANG 1 Jan. - Kementerian Pendidikan bercadang mewajibkan pendidikan tadika pada usia lima tahun sekali gus membolehkan pelajar memasuki kolej atau universiti ketika berusia 18 tahun.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, kementeriannya sedang mengkaji untuk mencontohi model sistem pendidikan itu yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Berdasarkan sistem berkenaan, katanya, seseorang pelajar akan memasuki tahap 1 pada umur 6 tahun dan akan menamatkan alam persekolahan dalam masa 12 tahun sebelum menduduki peperiksaan kelayakan memasuki kolej atau universiti.

''Saya bukannya hendak memperkenalkan polisi baru tetapi sekadar memikirkan secara terbuka kemungkinan memperkenalkan sistem itu,'' katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Masjid Kapitan Keling dekat sini hari ini.

Beliau berkata, tadika tersebut tidak semestinya diadakan di sekolah-sekolah kerajaan malah boleh diteruskan di sekolah swasta seperti yang diamalkan sekarang.

Sehubungan itu, pihak tadika swasta tidak perlu bimbang jika berlaku sebarang perubahan kerana kedudukan mereka tidak akan tergugat asalkan mereka mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh kerajaan.

''Kita juga faham untuk melaksanakan sistem itu sepenuhnya di sekolah kerajaan memerlukan banyak tenaga pengajar, kemudahan asas pengajaran dan pembelajaran,'' ujarnya.

Musa seterusnya memberitahu, sekumpulan pegawai khasnya sedang mengkaji serta mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada semua pihak termasuk guru, kesatuan guru-guru, persatuan ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, semua itu dilakukan untuk mengemas kini sistem pendidikan di negara ini untuk menjadikannya bertaraf dunia.

Sementara itu, beliau memberitahu, selepas Hari Raya beliau akan turun padang, bermula dengan lawatan ke sekolah-sekolah yang daif di desa, diikuti sekolah dalam kelas pertengahan dan kemudian barulah ke sekolah yang bertaraf tinggi di bandar-bandar utama.

''Saya ingin melihat sendiri sejauh mana perbezaan di sekolah-sekolah berkenaan dan merapatkan jurang pemisah dengan sebaik mungkin,'' tambah beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4F87CLabY © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment