09 Julai 2016 8:53 AM
Iklan air kangen
KUALA LUMPUR 9 Julai -
Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap penjualan dan
pengiklanan air Kangen yang didakwa mempunyai pelbagai akuan kesihatan kerana
didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk
Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memandang serius pengiklanan makanan
yang mengelirukan orang ramai dengan pelbagai akuan kesihatan.
Beliau berkata, Peraturan 360B,
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa
air minuman berbungkus yang dijual perlu dilesenkan terlebih dahulu oleh
Kementerian Kesihatan.
"Kementerian mengambil
maklum laporan mengenai penjualan air Kangen yang telah menjadi perbincangan
hangat netizen dan telah viral di media sosial," katanya dalam kenyataan
di sini, malam tadi.
Katanya, kegagalan mematuhi
peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh
didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, serta air
minuman berbungkus tidak berlesen yang dijual boleh rampas.
Di samping itu, katanya,
Seksyen 17 Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa iklan sesuatu makanan tidak
boleh mempunyai sebarang akuan kesihatan.
"Kegagalan mematuhi
seksyen tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh
dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau
kedua-duanya," katanya.
Orang ramai yang mempunyai
sebarang aduan mengenai penjualan/pengiklanan air Kangen atau mana-mana produk
makanan/minuman lain yang diragui akuannya boleh menghubungi Jabatan Kesihatan
Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Selain itu, mereka juga boleh
melayari laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.-BERNAMA
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/jualan-dan-pengiklanan-air-kangen-tidak-ikut-peraturan-1.351155#sthash.Imt1ho9H.dpuf
No comments:
Post a Comment