ARKIB : 01/01/2000
Peluang pertama Nicol David
KEJOHANAN Skuasy Terbuka Milo
di Kuala Lumpur bakal menjadi gelanggang pertama buat juara remaja dunia, Nicol
David untuk mengukir nama di arena skuasy profesional.
Nicol, yang muncul juara remaja
wanita dunia tahun lalu, dijangka memulakan karier profesionalnya di kejohanan
itu yang berlangsung dari 12 hingga 16 April depan dan terpaksa berhadapan
dengan beberapa pemain ternama dunia.
Pengarah Eksekutif Persatuan Raket
Skuasy malaysia (SRAM), Wong Ah Jit berkata, persatuan itu memberi sokongan
pendaftaran Nicol dengan Persatuan Pemain Skuasy Wanita Profesional
Antarabangsa (WISPA) bagi membolehkan juara Asia itu beraksi secara
profesional.
''Nicol akan memulakan cabaran
profesional pada April ini pada terbuka Milo dan kita juga menyediakan
sekurang-kurangnya empat kejohanan besar yang dihiasi pemain profesional untuk
disertainya.
''SRAM mendoakan Nicol berjaya
dalam mengejar gelaran profesionalnya. Kami yakin dia mampu melakukannya,''
katanya.
Dalam perkembangan lain, SRAM
meletakkan sasaran juara Kejohanan Asia yang bakal diadakan di Hong Kong atau
Korea Selatan, Julai tahun depan untuk dicapai oleh pemain lelaki khususnya
Kenneth Low atau Ong Beng Hee.
''Saya yakin kali ini Kenneth
atau Beng Hee mampu melakukannya kerana itulah gelaran yang belum kita miliki.
Halangannya cuma Amjad Khan dari Pakistan.
''Bagaimanapun, kita sukar
meraih gelaran berpasukan lelaki kerana Pakistan mempunyai skuad yang cukup
mantap. Saya tidak bimbang dengan keupayaan Nicol mempertahankan gelaran wanita
pada 2001,'' ujarnya.
SRAM juga katanya, bakal
kehilangan dua pemain senior dalam program skuasy negara apabila naib juara
Asia, Sandra Wu dan Ricky Lee yang dijangka menumpukan perhatian terhadap
bidang pekerjaan.
''Sandra dan Ricky sudah
menamatkan pengajian mereka di Kolej Stanford dan mungkin menumpukan perhatian
terhadap pekerjaan pula.
''Namun kita tidak bimbang
kerana mempunyai pemain lain yang mampu meneruskan cabaran seperti Sharon Wee
dan Tricia Chua yang cukup menyerlah kebelakangan ini,'' kata Ah Jit.
Mengenai program kejurulatih,
Ah Jit berkata, SRAM tidak merancang untuk mengadakan rombakan terhadap
jurulatih yang ada yang disifatkan berkesan dalam melahirkan pemain berkaliber.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4F8426jLU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment