Ad

Friday 22 July 2016

Diboikot 22 negara Afrika

SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  22 Julai 2016 12:09 AM
PADANG hoki tiruan yang kali pertama digunakan di Sukan Olimpik Montreal 1976.

Sukan Olimpik Montreal 1976 di Kanada sinonim dengan tiga kontroversi utama yang menjejaskan penganjurannya.
Kontroversi terbesar ialah pemboikotan oleh 22 buah negara Afrika yang diketuai Tanzania selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) enggan tunduk kepada permintaan mereka yang mahu New Zealand diharam­kan daripada menyertai temasya.
Desakan tersebut berpunca daripada pasukan ragbi New Zealand yang berkunjung ke Afrika Selatan untuk perlawanan menentang pasukan negara itu.
Afrika Selatan pada masa itu bergelumang dengan dasar apar­theid yang meninda­s golo­ngan kulit hitam sehingga negara itu diharamkan menyertai ­Olimpik.
Pemboikotan itu merebak dalam kalangan negara Afrika sehingga ada yang membuat keputusan itu hanya beberapa hari sebelum majlis perasmian.
Dianggarkan sebahagian besar daripada atlet negara yang menarik diri itu telah berada di Montreal tetapi tetap menarik diri dan kembali ke negara masing-ma­sing.
Negara yang menarik diri itu terdiri daripada Libya, Iraq, Ke­nya, Zambia, Nigeria, Gambia, Sudan, Ghana, Tanzania, Uganda, Algeria, Habsyah dan Madagascar.
Tidak ketinggalan ialah Republik Afrika Tengah, Gabon, Chad, Togo, Niger, Congo, Mauritius, Upper Volta dan Malawi.
Tindakan itu menyebabkan beberapa acara olahraga terjejas selepas ketidakhadiran atlet terkemuka seperti Filbert Bayi dari Tanzania yang memegang rekod dunia 1,500 meter dan John Akii-Bua dari Uganda yang memegang rekod dunia 400 meter lari berpagar.
Kontroversi kedua ialah dakwaan penyalahgunaan dadah oleh atlet walaupun tiada bukti.
Paling teruk menjadi mangsa dakwaan ialah pasukan renang wanita Jerman Timur yang dikatakan mengambil steroid anabo­lic kerana perenangnya mempu­nyai otot dan bersuara kasar.
Kontroversi seterusnya adalah mengenai perbelanjaan menganjurkan Olimpik yang menelan belanja besar mencecah AS$2 bilion yang menyebabkan hutangnya ditanggung selama beberapa dekad.
Menurut satu laporan, hutang yang ditanggung bandar Montreal berlarutan selama 30 tahun sehingga stadium Olimpik yang dipanggil ‘Big O’ dijadikan bahan jenaka apabila diberi nama ‘Big Owe’ (Hutang besar)
Di sebalik pelbagai isu, temasya tersebut juga menampilkan pembaharuan antaranya penggunaan padang tiruan untuk acara hoki buat kali pertama.
Peluang atlet wanita bertanding dalam Sukan Olimpik juga semakin terbuka apabila acara bola keranjang, mendayung dan bola baling wanita membuat penampilan pertama pada temasya sukan terbesar di dunia itu.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/diboikot-22-negara-afrika-1.356255#sthash.PDCJr4Xu.dpuf


No comments:

Post a Comment