ARKIB : 18/03/1998
BATU tergantung. Batu ini dipalu dengan batang tepus untuk mendapatkan pinggan mangkuk.
Ketika berjalan mulutnya merapu-rapu, bukannya kerana mabuk, tetapi sudah menjadi kebiasaannya, apatah lagi jika ada sesuatu yang tidak kena dengan kerenah manusia. Sama ada sang kelembai itu manusia atau pari-pari tidaklah pula diketahui dengan jelas.
Orang Melayu sejak zaman dahulu lagi kenal dengan cerita dongeng Sang Kelembai. Namun tidak pula cerita itu dibukukan seperti orang barat membukukan cerita-cerita dongeng seperti Robin Hood yang terkenal di seluruh dunia.
Salahkah orang-orang Melayu membukukan cerita-cerita rakyat sedemikian? Sungguhpun dianggap dongeng, ada banyak pengajaran yang boleh diambil daripada cerita tersebut.
Kerana tertarik dengan cerita Sang Kelembai yang dikatakan pernah berlaku di kampung saya di Lenggung, Perak, saya mengambil kesempatan baru-baru ini untuk melawat tempat-tempat yang dikatakan pernah Sang Kelembai hidup berseorangan tanpa suami dan anak.
Menurut orang-orang kampung, Sang Kelembai bukan jenis manusia. Kalau bukan jenis manusia tentulah tergolong daripada jenis yang orang kampung saya panggil pari-pari. Saya pun tidak pasti mengapa dipanggil pari-pari.
Di muka gua Gunung Tasik berhampiran rumah saya ada batu tergantung yang besar. Menurut orang kampung batu tersebut mempunyai rahsia tersendiri.
Di zaman antah-berantah di mana Sang Kelembai memuja batu tersebut dan (ada baiknya juga Sang Kelembai itu) sesiapa yang hendak meminjam pinggan mangkuk untuk mengadakan majlis kenduri kahwin bolehlah memukul batu tersebut dengan batang tepus, dan berserulah beberapa banyak pinggan mangkuk yang hendak dipinjam. Dalam sekejap masa sahaja keluarlah pinggan mangkuk bertimbun-timbun dari batu tersebut.
Demikianlah baiknya Sang Kelembai yang dianggap makhluk yang serupa manusia tetapi luar biasa kerana buah dadanya panjang dan terpaksa disangkutkan di bahu.
Di suatu ketika seorang raja telah mengahwinkan puteranya di tempat yang bernama Hulu Jepai iaitu berdekatan dengan beberapa gua yang dijadikan istana.
Selepas kenduri sang raja yang telah meminjam pinggan mangkuk terlupa hendak memulangkannya sehinggalah beberapa tahun kemudian sang raja tersebut mengahwinkan pula seorang puterinya yang jelita.
Sang Kelembai marah dengan perangai raja yang mementingkan diri sendiri itu dan tidak pula suka menolong rakyatnya yang ditimpa kesusahan. Dia mengambil keputusan untuk melihat perayaan perkahwinan yang besar dan banyak menggunakan harta rakyat, lalu berjalan ke arah istana raja di Hulu Jepai itu.
Orang-orang besar istana lalu memberitahu raja bahawa Sang Kelembai telah berada di pintu gerbang istana dan tidak ada sesiapa yang berani menahannya. Raja sangat marah dengan kedatangan Sang Kelembai yang tidak diundang itu. Tetapi raja lupa bahawa pinggan mangkuk yang digunakan dalam istiadat perkahwinan itu dipinjam daripada Sang Kelembai dan tidak dikembalikan semula.
Sang Raja lalu menyuruh pengawal-pengawalnya menghalau Sang Kelembai dari dalam istana. Sang kelembai yang selama ini dianggap banyak menolong manusia yang susah tidak dapat menahan perasaan marahnya, lalu dia terus menyumpah Sang Raja.
Kerana sumpahan itu Sang Raja dan permaisuri serta seisi istana telah menjadi batu termasuk juga pinggan mangkuk, segala hidupan, katil, kelambu dan sebagainya.
Itulah sumpah Sang Kelembai terhadap raja yang mementingkan diri sendiri. Istana raja yang disumpah itu terkenal hingga sekarang dengan panggilan Gua Puteri.
Semasa saya kecil-kecil dahulu pernah saya melawat ke dalam gua Puteri bersama rombongan budak sekolah, iaitu kira-kira pada tahun 1948. Ketika itu saya dapati masih ada arca batu seperti orang bersanding, ada katil dan kelambu, ada pinggan mangkuk yang berisi ikan, siput dan sebagainya.
Pada lawatan saya baru-baru ini semuanya telah musnah. Para pelawat memecah-mecahkan arca-arca tersebut dengan mengetuknya hingga pecah termasuk batu-batu yang berbentuk manusia bersanding. Sayang sekali khazanah silam itu kian terhapus oleh perbuatan manusia sendiri.
Ketika keluar dari muka Gua Puteri itu, saya dengan tiba-tiba terserempak dengan sekumpulan kerbau liar yang jumlahnya kira-kira 30 ekor. Kerbau-kerbau tersebut lalu menyerbu kami dan saya serta anak saya Hazrul terpaksa berlari dan memanjat pokok yang berdekatan.
Oleh: N.A. HALIM
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4DyoyqAdp © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment