Pembentukan undang-undang yang
mantap, seringkali memerlukan kajian mendalam dan mengalami perubahan dan
pembaikan di mana-mana tempat mengikut kesesuaian dan keadaan semasa. Perubahan
zaman dan penemuan baru membawa pengubalan dan perubahan undang-undang yang
sedia ada. Ke arah maksud di atas, pada 10 Julai 1973, satu Persidangan
Undang-undang Malaysia yang kedua telah dirasmikan oleh Perdana Menteri
Malaysia Tun Abdul Razak. Persidangan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam akan
berlangsung selama tiga hari disertai oleh 150 orang daripada Semenanjung
Malaysia, tujuh daripada Sabah, enam
daripada Singapura dan seorang daripada Australia. Persidangan ini diadakan di
Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Dalam ucapan perasmian, Perdana
Menteri telah memberi jaminan kerajaan tetap berpegang kuat kepada peraturan
undang-undang, melindungi serta mempertahankan kebebasan tanpa disekat-sekat.
Tun Razak menambah, ada kalanya kita menghadapi keperluan-keperluan yang
berubah dalam masyarakat seperti yang tidak dapat dielakkan oleh tiap-tiap
demokrasi berparlimen tetapi pindaan perlembagaan itu tidak melibatkan
perkara-perkara asas, hak-hak asasi dan perlindungan bagi rakyat tidak disentuh
sama sekali. Persidangan ini yang bertemakan Undang-undang dan Pembangunan. Membincangkan
kertas kerja berkaitan dengan sumber-sumber galian dan pembentukan
undang-undang, Bank-bank Pembangunan dan Dasar Ekonomi Baru, bahagian-bahagian
yang tertinggal dalam undang-undang dan juga membincangkan kerjaya bidang
undang-undang itu sendiri. Diharap Persidangan Undang-undang yang diadakan ini
akan memberi sumbangan yang bermakna kepada kerajaan demi untuk kemajuan
perundangan di Malaysia.
SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids
No comments:
Post a Comment