ARKIB : 18/02/1998
Di kompleks makam bersejarah itu hanya Makam Sultan Ali,
putera Sultan Husain Syah sahaja yang dapat saya kenal pasti, kerana ada
catatan di batu nisan di makam Almarhum.
Yang lain-lain itu, saya fikir adalah makam-makam kaum
keluarga Sultan Ali, sultan bagi negeri Johor yang dilantik oleh Inggeris atas
nama sahaja. Baginda hanya diberi sebuah kawasan iaitu Muar-Kesang sebagai
kawasan pemerintahan baginda. Namun daerah itu juga akhirnya terserah kepada
Johor yang dikuasai oleh Temenggung Seri Maharaja Johor.
Suatu peristiwa sedih berlaku di Umbai pada tahun 1877
apabila jenazah Almarhum Sultan Ali hampir seminggu tidak dapat dikebumikan.
Begitulah adat raja-raja Melayu sekiranya seseorang sultan mangkat, hendaklah
terlebih dahulu dilantik pengganti sultan.
Apabila telah dilantik barulah jenazah Almarhum sultan
dapat dikebumikan.
Hal ini berlaku juga ketika Sultan Ali Al-Mukamal, Perak,
yang mangkat pada tahun 1871. Hampir sebulan jenazah sultan itu tidak dapat
dikebumikan kerana berlaku kekecohan apabila anak-anak raja Perak masing-masing
hendak menjadi raja.
Ketika Sultan Husain Syah mangkat pada tahun 1835, putera
baginda yang bernama Tengku Ali masih lagi kecil, berumur kira-kira 11 tahun.
Pada tanggal 10 Mac 1855, iaitu ketika berusia 35 tahun,
Tengku Ali, putera Almarhum Sultan Husain Syah, telah dilantik oleh Inggeris
dengan persetujuan Temenggung Seri Maharaja Johor menjadi Sultan Johor.
Perlantikan itu dibuat di Singapura.
Sungguh pun telah dilantik menjadi Sultan Johor, baginda
sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kuasa, yang berkuasa di Johor waktu itu
ialah Temenggung Seri Maharaja Daing Ibrahim. Sultan Ali hanya diberi sebuah
kawasan iaitu Muar-Kesang yang tidak mempunyai apa-apa hasil sebagai kawasan
pemerintahannya.
Namun Sultan Ali masih tinggal di istananya di Kampung
Gelam, Singapura. Sesekali Sultan Ali melawat Muar-Kesang dan di daerah itu ada
pula pembesar Melayu yang berkuasa iaitu Temenggung Muar yang diam di Segamat.
Sultan Ali pula melantik seorang pembesar Bugis yang bernama Suliwata untuk
mengutip cukai di daerah tersebut.
Nampaknya daerah Muar-Kesang tidak pernah aman kerana
daerah pegangan Sultan Ali itu telah dikuasai oleh dua pihak yang bermusuhan.
Akhirnya berlakulah pergaduhan antara pengikut-pengikut Suliwata dengan
pengikut Temenggung Muar/Segamat dan pengikut-pengikut Temenggung Abu Bakar.
Peristiwa yang berlaku di Muar-Kesang dan Segamat itu
telah diceritakan dengan panjang lebar oleh Munsyi Ibrahim yang dititahkan oleh
Temenggung Seri Maharaja Abu Bakar untuk meninjau kawasan tersebut.
Dalam tahun 1861, ada khabar-khabar menyatakan Sultan Ali
telah dapat mengumpulkan pengikut-pengikutnya berjumlah kira-kira 30,000 orang.
Mereka berkumpul di Muar dan bercadang hendak menyerang Johor. Namun
pengikut-pengikut Sultan Ali akhirnya tidak jadi menyerang Johor apabila pihak
Inggeris memberi amaran. Ketika itulah Sultan Ali terpaksa berhutang dengan
ceti sebanyak $53,000 ringgit untuk membeli senjata.
Dalam tahun 1875, didapati Sultan Ali berbaik-baik semula
dengan Temenggung Seri Maharaja Daing Abu Bakar dalam satu upacara yang
dihadiri oleh Gabenor Sir Andrew Clarks. Mereka berdua pun bersalam dan
berdamai. Sultan Ali kemudian pulang semula ke tempat kediaman baginda di
Umbai, Melaka.
Pada tanggal 20 Jun 1872, Sultan Ali yang tidak mempunyai
negeri pemerintahannya itu akhirnya mangkat di Umbai. Putera almarhum yang
bernama Tengku Alam terus memperjuangkan haknya sebagai pemerintah negeri
Johor. Sejauh mana kejayaan putera Sultan Ali itu sejarah Johor dapat memberi
jawapannya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz4FWnkBMez
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment