Ad

Tuesday 12 July 2016

RANCANGAN MALAYSIA KEDUA DIBENTANGKAN DI DEWAN RAKYAT UNTUK DIBAHAS DAN DILULUSKAN 12.07.1971

Pada hari ini 12.07.1971, Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah membentangkan Rancangan Malaysia Kedua di Dewan Rakyat untuk dibahas dan diluluskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat. Selama 5 hari telah diperuntukan untuk ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskannya. Semasa membentangkannya Perdana Menteri  menyatakan bahawa Dewan hendaklah meluluskan usul ini yang merupakan tapak asas yang kukuh untuk menjamin kesejahteraan hidup rakyat negara ini. Ini kerana usul Rancangan Malaysia Kedua ini mengandungi Dasar Ekonomi Baru negara yang akan memberi faedah kepada semua kaum. Menurut Perdana Menteri lagi, setelah 14 tahun hidup sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat; selama tempoh itu juga Kerajaan telah berusaha sedaya upaya memajukan negara. Hasil rancangan-rancangan lalu telah berjaya dengan baiknya tetapi setakat menyediakan landasan infrastruktur bagi membangunkan negara. Oleh sebab itu adalah amat perlu Rancangan Malaysia Kedua ini diadakan bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan tersebut. Dalam perbahasan pada hari pertama tersebut beberapa orang ahli Dewan Rakyat telah mengambil bahagian termasuk dari parti pembangkang. Ahli-ahli Dewan dari parti pemerintah telah menyatakan persetujuannya dengan usul tersebut di samping memberi pandangan bagi memperkemaskan lagi sistem pelaksanaannya supaya bila dijalankan kelak ianya dapat memberi faedah kepada semua lapisan rakyat. Ahli-ahli dari parti-parti pembangkang pula telah mempersoalkan pelaksanaan usul ini yang bagi pihak mereka kerana kononnya kurang menekankan kepentingan kaum bukan bumiputera. Walau bagaimanapun mereka tetap juga menyokong usul ini. Usul Rancangan Malaysia Kedua ini yang dibahaskan selama 5 hari kemudiannya telah diluluskan oleh Dewan Rakyat memandangkan kepentingannya untuk memajukan lagi masyarakat dan negara.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids

No comments:

Post a Comment