AHMAD FAZLI MOHD. YADI
“KALAU ada bukti yang ada
hubung kait dengan aktiviti ‘gelap’ dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
elok dedahkan, tak perlu simpan. Langkah terbaik ialah untuk menyerahkannya
kepada pihak yang bertanggungjawab agar siasatan boleh dijalankan,”
Demikian tegas Menteri Belia
dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) berhubung isu ‘pendrive’
(pemacu pena) yang mengandungi bukti penyelewengan dalam FAM seperti yang
didedahkan oleh pemilik Johor Darul Takzim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim baru-baru ini.
Menurut Khairy, jika benar
seperti apa yang didedahkan oleh Tunku Ismail itu, pemacu pena tersebut
hendaklah diserahkan kepada pihak bertanggungjawab dan bukannya disimpan.
Jelas Khairy, Tunku Ismail
tidak boleh melindungi atau menyimpan mana-mana bukti sekiranya dakwaan baginda
itu berasas yang melibatkan amalan rasuah 30 tahun serta sikap salah laku
pegawai-pegawai tertinggi di dalam FAM.
“Kalau ada apa-apa dakwaan,
terutamannya dakwaan yang berkaitan penyelewengan atau pun rasuah, ia perlu dikemukakan
kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Kalau ada bukti jenayah, kita
tidak melindungi atau tidak boleh simpan bukti tersebut. Kita kena
kemukakannya.
“Walau apa pun dakwaan, biarlah
pihak yang bertanggungjawab siasat dulu. Saya tidak mahu buat apa-apa andaian.
Kalau sekiranya ada maklumat yang sahih, saya harap sesiapa pun akan serahkan
maklumat itu kepada pihak yang bertanggungjawab,” kata Khairy kepada pemberita
pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Perdana Fellows Structured Bootcamp
2016 di Putrajaya, semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan,
Tunku Ismail mendedahkan bahawa baginda memiliki ‘pendrive’ yang mengandungi
‘aktiviti gelap’ di dalam FAM yang mana ia mempunyai maklumat berkenaan
ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, Tunku Ismail
hanya mendedahkan dua daripada 279 halaman maklumat dalam pemacu pena tersebut
kerana baginda tidak mahu menganiaya sesetengah individu.
Baginda juga mahu menyimpan
sebahagian daripadanya terlebih dulu kerana ia mempunyai nama yang mampu
memberi implikasi besar ke atas individu tertentu.
Bagaimanapun, FAM menafikan
dakwaan tersebut yang dianggap sebagai tidak berasas.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0721&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4F17QHz8R
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment