Ad

Sunday, 17 July 2016

‘Dia meraung kesakitan kaki putus’

NORAWAZNI YUSOF
15 JULAI 2016
 ‘Dia meraung kesakitan kaki putus’
‘Dia meraung kesakitan kaki putus’ Shamsudin Kadri
KUANTAN – Walaupun sudah lebih 40 tahun berlalu, peristiwa rakan setugas putus kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar ketika membuat rondaan menjejak pengganas bersama tentera Thailand pada 1977 masih segar dalam ingatan Sarjan Shamsudin Kadri.

Pesara tentera berusia 60 tahun yang pernah berkhidmat dengan Unit Armor Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, ketika kejadian, dia dan mangsa, Zakaria Baba sedang melakukan rondaan di hutan selatan Thailand ke Ban Cho Wa di selatan Naratiwat.

Katanya, dia tidak dapat membayangkan kesakitan dialami sahabatnya karibnya itu dan hingga kini jeritannya masih terngiang di telinganya.

“Jeritan (sakit) hingga kini bermain di ingatan saya. Saya tak boleh bayangkan kesakitan dialaminya,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengimbau kembali peristiwa menyayat hati itu, Shamsudin berkata, pada mulanya dia dan rakan setugas lain tidak menyedari Zakaria terpijak jerangkap samar kerana leka menjalankan intipan.

“Waktu itu, semua rakan lain begitu leka menjalankan intipan sebelum terdengar teriakan kuat. Saya melihat dia menangis dan meraung apabila kakinya putus.

“Saya faham keadaan dia pada ketika itu dan terus memeluk serta beri kata-kata semangat dengan harapan kesakitannya hilang,” katanya.

Menurutnya, dia boleh merasakan badan Zakaria menggigil menahan kesakitan dan mangsa meminta supaya betisnya diikat bagi memberhentikan darah sementara menunggu bantuan perubatan tiba.

Katanya, selepas hampir sejam menunggu, akhirnya pesawat penyelamat tiba dan membawa Zakaria ke Hospital Kota Baharu untuk rawatan lanjut.

Shamsudin berkata, kini rakannya itu berada di Negeri Sembilan tetapi mereka sudah terputus hubungan.

Jadi lebih matang, berani

Menyertai misi ke Thailand pada awal usia 21 tahun menjadikan Shamsudin lebih matang.

Katanya, dia menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan berani menempuh segala onak duri setiap kali diarahkan menjalankan operasi atau misi keselamatan.

Menurutnya, tiada perasaan takut pada waktu itu, sebaliknya perhatian ditumpukan sepenuhnya kepada misi membanteras pengganas seperti diarahkan.

“Saya tak pernah gentar dengan apa sahaja misi yang pernah saya sertai, malah ia akan membuatkan saya lebih matang serta berani berdepan dengan apa jua situasi.

“Bila minat sudah ada dalam diri, saya sanggup habiskan masa muda saya berada di hutan demi memastikan keamanan negara,” katanya.

Shamsudin berkata, isteri dan tujuh anaknya sering ditinggalkan selama berbulan-bulan setiap kali dia diarahkan menyertai pelbagai misi keselamatan bagi mengawal sempadan negara dan membanteras komunis

“Tugas kami bukan saja jaga sempadan tetapi tugas berkaitan teknikal pun kena tahu.

“Saya galakkan anak-anak muda sekarang supaya menceburi bidang ketenteraan kerana gaji agak lumayan dan banyak insentif disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat selama 21 tahun, segala keringatnya dicurahkan untuk membanteras kegiatan komunis ketika itu demi memastikan negara kekal aman sehingga hari ini.

Sumber-sinar Harian online 15 JULAI 2016

No comments:

Post a Comment