Noor Huda (kiri) dan Nenney
Shuhaidah saling mengucapkan tahniah selepas menerima watikah pelantikan
sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
Norrasyidah Arshad
hmetroshahalam@hmetro.com.my
Shah Alam: “Amanah ini (sebagai
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah) sangat berat walaupun ia satu ‘lorong’ yang baik
untuk wanita. Saya akan cuba menjadikan kerjaya ini sebagai satu perkara yang
sentiasa dipandang positif,” kata hakim wanita pertama Mahkamah Tinggi Syariah
di negara ini, Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41.
Selain Nenney Shuhaidah,
seorang lagi pegawai undang-undang Noor Huda Roslan, 40, turut dilantik menjadi
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di negara ini.
Kedua-duanya menganggap
pelantikan mereka sebagai satu peluang meletakkan wanita setaraf dengan
kedudukan lelaki.
Nenney Shuhaidah berkata,
pelantikan itu amanah berat walaupun ia baik untuk golongan wanita.
Berikutan itu, beliau dan Noor
Huda akan cuba menjadikan kerjaya baru itu sentiasa dipandang positif dan
bersikap amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
“Kami yakin, selepas ini
(pelantikan wanita), akan ada negeri lain yang turut melantik wanita sebagai
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya selepas menerima watikah pelantikan
berkenaan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana
Bukit Kayangan di sini, semalam.
Pelantikan berkenaan berkuat
kuasa semalam selaras dengan Subseksyen 58(1) dan Seksyen 59(1) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Noor Huda berkata, mereka hanya
menjadi hakim dalam kes membabitkan takzir (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah)
saja dan tidak membabitkan perihal berkenaan hudud dan kisas.
“Jantina seorang hakim itu
tidak penting sebaliknya penguasaan hukum syarak serta undang-undang lebih
utama,” katanya.
Pada majlis sama, Sultan
Sharafuddin Idris Shah turut berkenan melantik adinda baginda, Tengku Sulaiman
Shah sebagai Tengku Laksamana Selangor.
Gelaran itu sebelum ini
disandang Almarhum Tengku Badli Shah Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah
Alhaj yang mangkat pada 1 Jun 1988.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 9:09 AM
No comments:
Post a Comment