NURUL HUDA HASSAN DAN MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKFLI | 13 Julai 2016 12:06 AM
JOHOR BAHRU 12 Julai - Selepas
hampir sedekad menyarung jersi pasukan kebangsaan, dua tonggak pasukan Harimau
Malaysia, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Safiq Rahim mengambil keputusan
mengejut untuk bersara daripada arena bola sepak antarabangsa.
Dua pemain Johor Darul Ta’zim
(JDT) itu, yang masing-masing telah bermain 68 dan 66 kali bersama skuad negara
sejak 2007, mengumumkan keputusan mereka selang sejam petang semalam dengan
alasan untuk memberi peluang kepada pemain muda mewakili pasukan negara.
“Saya cukup berbesar hati dapat
membantu mencapai beberapa kejayaan yang diraih sewaktu bersama skuad
kebangsaan yang antaranya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kelayakan Belia
Bawah 20 AFC 2004, Sukan Olimpik 2008 serta perlawanan-perlawanan lain.
“Saya juga ingin merakamkan
penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyokong bola sepak tanahair,
barisan kejurulatihan serta pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang
selama ini menyokong karier saya sepanjang berkhidmat bersama skuad
kebangsaan,” kata Aidil menerusi kenyataan di akaun Facebook Johor Southern Tigers
di sini hari ini.
Selepas pengumuman Aidil
bersara, sejam selepas itu ketua pasukan Safiq pula mengikut jejak langkah
rakan sepasukannya dengan memberi alasan yang sama iaitu memberi peluang kepada
pemain lain untuk menggalas tanggungjawab mewakili negara.
“Pencapaian-pencapaian yang
pernah saya raih seperti membantu skuad kebangsaan Bawah 23 tahun memenangi
pingat emas dalam Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF 2010 untuk skuad senior
pastinya mampu menjadi pemangkin kepada pemain generasi baharu untuk memberikan
keputusan dan idea yang lebih positif kepada skuad negara.
“Saya ingin mengambil
kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang
menyokong kerjaya saya di dalam skuad kebangsaan terutama penyokong-penyokong
bola sepak tanahair, barisan kejurulatihan serta pengurusan FAM,” ujarnya.
Pengumuman kedua-dua pemain itu
bermakna Jelajah Oceania ke tiga negara untuk perlawanan persahabatan menentang
Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji pada bulan lalu adalah penampilan
terakhir mereka bersama skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/aidil-safiq-gantung-but-8232-skuad-kebangsaan-1.352660#sthash.MTTuAMyY.dpuf
No comments:
Post a Comment