Ad

Thursday 7 July 2016

PELANCARAN PROJEK MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA 6.12.1990

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri yang pertama dan Bapa Kemerdekaan telah pergi meninggalkan kita pada 6 Disember 1990. Pemergian negarawan ulung ini amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sejarah perjuangan Almarhum Tunku Abdul Rahman dari sebelum dan selepas Merdeka adalah merupakan sebahagian daripada sejarah perjuangan bangsa Malaysia. Jasanya kepada negara akan tetap dikenang sampai bila-bila. Sebagai mengenang dan mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau terhadap negara tercinta ini, satu projek Memorial Tunku Abdul Rahman Putra telah dilancarkan pada hari ini 7 Julai 1992 oleh YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia. Memorial ini akan menjadi simbol sumbangan Perdana Menteri Pertama negara ini terhadap kemerdekaan dan keharmonian kaum di Malaysia. Sebuah Memorial akan dibuka sebelah tapak Bangunan Residensi yang menjadi kediaman rasmi Almarhum Tunku semasa memegang teraju pemerintahan negara. Bangunan Residensi akan digabungkan dengan satu lagi bangunan tambahan yang direka bentuk khas bagi memuatkan sama bahan memorabilia milik Almarhum Tunku Abdul Rahman. Bagi menjayakan projek Memorial Tunku Abdul Rahman ini juga sebuah Jawatankuasa Tetap Memorial Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah juga melancarkan Tabung Amanah Tunku pada 10 Oktober 1991 bagi membiayai pembinaan Memorial yang pada mulanya dijangka dibuka pada tahun 1994. Sumbangan dan derma telah datang mencurah-curah daripada syarikat-syarikat swasta dan orang-orang awam dari seluruh negara. Sehingga 31 Disember 1992 sumbangan yang diterima ialah sebanyak RM 12,827,32.00. Pemilihan Bangunan Residensi sebagai tarikan utama memorial ialah kerana rumah ini telah menyaksikan banyak peristiwa sejarah negara sama ada dari segi keputusan-keputusan penting dan perbincangan. Pembinaan Memorial ini hanyalah sebagai simbol yang menggambarkan jasa Almarhum Tunku kepada tanah air tercinta ini, tetapi sumbangan terbesar dan kenangan abadi terhadap beliau ialah perpaduan kaum di negara ini wujud hasil dari usaha beliau. Perpaduan kaum ini jugalah yang telah menyakinkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada negara kita pada 31 Ogos 1957 dan membuka jalan kepada Malaysia menjadi negara merdeka dan berdaulat di mata dunia.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids

No comments:

Post a Comment