Ad

Friday, 22 July 2016

Barangan lama rumah bagaikan muzium

ARKIB : 03/01/1998
 
MERIAM katak, kecilnya seperti cili api.

KUANTAN - Peralatan lama berusia ratusan tahun walaupun tidak lagi berfungsi atau digunakan namun tetap menarik perhatian dan disimpan sebagai kenangan sejarah.

Antara barangan antik tersebut ialah seterika, gong serta gendang dan meriam yang digunakan dalam peperangan pada zaman silam.

Tinjauan Utusan ke rumah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Besar, Datuk Wan Abdullah Wan Osman, baru-baru ini mendapati peralatan tersebut masih disimpan dengan baik di sudut khas di rumahnya di Kuala Kerau.

Beliau begitu prihatin terhadap barang-barang seumpama itu yang diperolehi sama ada daripada milik keluarganya mahupun dibeli daripada orang lain.

Berada di rumah Wan Abdullah seolah-olah berada di sebuah muzium mini kerana pelbagai barang antik diabadikan di rumahnya yang tersergam besar itu.

Seterika yang menggunakan arang merupakan alat yang tidak kurang pentingnya untuk berpakaian kemas ketika bertugas atau ke majlis dan bersiar-siar.

Sebelum menggosok seterika dipanaskan dengan memasukkan bara api ke dalamnya. Jangan terlalu banyak bara kerana kain yang digosok akan hangus akibat kepanasannya.

Bagaimanapun seterika yang baru dimasukkan bara itu mestilah digosokkan ke atas daun pisang sebelum menggosok kain.Cara ini dilakukan bagi mengelakkan kain daripada hangus dan melicinkan pergerakan seterika.

Sekitar tahun 80-an, seterika antik yang menggunakan lambang ayam jantan sebagai alat pengunci penutupnya itu ditawarkan dengan harga yang tinggi.

Kononnya, bomoh menggunakan seterika yang berharga RM15 sebuah itu untuk menyempurnakan hajat tertentu.

Manakala gong dan gendang pula bukan sahaja untuk bermain muzik tradisional atau persilatan, malah berfungsi menghebahkan maklumat penting.

Misalnya, pada zaman pemerintahan beraja, alat itu mencanangkan keberangkatan baginda ke satu-satu kawasan untuk persediaan rakyat menyambutnya dan dipalu apabila berlaku kematian penduduk setempat.

Selain itu, gong meningkah pukulan gendang untuk melahirkan irama tarian, nyanyian dan dalam muzik moden tingkahannya begitu unik didengar.

Begitu juga dengan gendang yang berbentuk bulat memanjang itu. Pertaliannya begitu erat dengan gong untuk melahirkan irama Melayu lama seperti joget, zapin, inang dan dangdut.

Meriam memainkan peranan penting dalam menegakkan kekuatan sesebuah pasukan dalam peperangan dan menjadi penentu kemenangan dan kekalahan.

Meriam katak yang diperbuat daripada besi padu yang disimpan di rumah Wan Abdullah ini mempunyai sejarah kegemilangannya tersendiri.

Ia dikatakan dirampas oleh Allahyarham Mat Kilau daripada pihak musuh untuk menguatkan serangan terhadap penjajah Inggeris di satu kawasan di Sungai Lembing.

Meriam tersebut sekalipun agak kecil, pendek tetapi ledakannya kuat dan jika tepat sasarannya pastinya menyekat kemaraan pihak lawan.

Meriam ini menggunakan peluru besi berbentuk bulat berat yang dimasukkan menerusi muncungnya. Api dicucuh pada lubang kecil di bahagian buntutnya untuk melepaskan bedilan.

Itulah meriam katak, kecilnya diibaratkan seperti cili api pedas dan berbisa.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FD7ZlSVg © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment