Ad

Sunday, 3 July 2016

TUN ABDUL RAZAK MERASMIKAN KURSUS MUBALIGH ISLAM

Pada hari ini 03.07.1964, Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah merasmikan kursus Mubaligh Islam anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Se Malaya di Kuala Lumpur. Dalam upacara perasmiannya, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa kemajuan sains dan teknologi pada hari ini telah banyak merubah keadaan hidup di mana manusia terlalu mengejar kemewahan dan kebendaan untuk kepuasan jasmani sedangkan keadaan rohani diabaikan begitu sahaja. Faktor rohani yang lemah menyebabkan manusia tidak berupaya melawan cabaran hidup dan tidak bersemangat untuk berjuang dan berkorban demi agama Islam. Seterusnya beliau memuji kesungguhan para peserta kursus yang sanggup berkorban tenaga untuk agama Islam dalam keadaan dunia sekarang ini di mana tidak mudah untuk mencari pekerja-pekerja, pejuang-pejuang dan mubaligh-mubaligh sukarela yang sanggup menghadapi cabaran dunia kebendaan itu. Sebelum itu Yang DiPertua Agong Pertubuhan Kebajikan Islam Se Malaya, Tuan Haji Mohamad Yusuf Ibrahim menyatakan bahawa pertubuhan tersebut kini kekurangan perbelanjaan untuk mengerakkan program-program yang dirancangkan. Untuk itu pada akhir ucapannya Tun Abdul Razak menyatakan pihak Kerajaan akan menimbangkan untuk memberi peruntukan yang lebih lagi kepada pertubuhan tersebut untuk kegiatan-kegiatan pengembangan agama Islam. Beliau juga telah merayu hartawan-hartawan dan para dermawan supaya tampil menyumbangkan derma untuk tujuan yang murni ini.

SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids

No comments:

Post a Comment