RKIB : 01/04/1998
Daerah kecil Lenggong
terbentang dari utara, iaitu dari Kenering yang terletak 25 kilometer dari
pekan Lenggong, sehingga ke Pulau Kemiri di selatan, yang juga terletak
kira-kira 25 kilometer dari pekan Lenggong. Jarak sejauh 50 kilometer itu
adalah mengikut jalan raya yang bengkang bengkok.
Lenggong juga dikelilingi oleh
banjaran gunung yang indah pemandangannya. Sesekali kita dapat melihat kabus
tebal menutup puncak banjarannya. Jika menaiki kereta dari Kuala Kangsar,
satu-satunya jalan raya dari bahagian selatan, akan kelihatan Banjaran Gunung
Bintang di sebelah kiri jalan.
Gunung Bintang merupakan puncak
tertinggi di banjaran tersebut. Tinggi puncak gunung tersebut melebihi 1,860 meter.
Di sebelah kanan, terdapat pula Banjaran Gunung Titiwangsa yang agak jauh ke
timur letaknya. Dari banjaran ini mengalir Sungai Perak.
Kerana dilingkungi oleh
banjaran gunung itulah daerah kecil ini dinamakan 'Lenggong', yang berasal
daripada perkataan 'lengkung'. Lengkung bermakna kawasan yang dilingkungi
banjaran gunung. Akhirnya perkataan itu disebut 'Lenggong' oleh orang luar,
terutamanya orang Siam yang datang dari utara.
Terdapat juga cerita lisan yang
menyatakan perkataan 'Lenggong' disebut oleh orang putih yang masuk ke daerah
Lenggong pada zaman awal penjajahan Inggeris di Perak. Orang putih sukar
menyebut 'lengkung'.
Kerana pelat, orang putih
menyebut 'lengkung' sebagai 'Lenggong'. Inilah cerita tentang asal usul
'Lenggong'.
Ada satu cerita lain pula,
kononnya terdapat kayu yang terselit di celah batang sebuah pokok besar.
Kedudukan batang kayu yang
terpanggung itulah bermulanya perkataan 'lengkung', kemudian disebut
'Lenggong'. Sebagai mengingati perkara itu, satu replika kedudukan kayu itu
dibuat di Taman Rekreasi Kg. Raban dekat Lenggong.
Di daerah kecil Lenggong ini
terdapat ratusan kampung Melayu tradisional. Ada kampung yang terletak di
sepanjang tebing Sungai Perak. Ada pula di sepanjang jalan raya, bermula dari
Kampung Pulau Kemiri di selatan hinggalah ke Kampung Sumputan di sebelah utara.
Saya hanya ingat beberapa buah
kampung yang terletak di sepanjang tebing Sungai Perak, seperti Kampung Bukit
Sapi, Chepor, Kampung Beng, Kampung Luat dan Kampung Temelong.
Di sepanjang jalan raya,
beberapa kampung yang mempunyai ramai penduduk ialah Kampung Chain, Kampung
Kota Tampan, Kampung Changkat Berangan, Kampung Banggul Belimbing, Kampung
Gelok, Kampung Sekolah Lama (atau disebut juga Kampung Masjid Lama), Kampung
Kubang Jambu, Kampung Senerelai, Kampung Sira, Kampung Telok Batu, Kampung
Labit, Kampung Kota, Kampung Bukit Nangka, Kampung Lohor, Kampung Tasik,
Kampung Hulu Lenggong, Kampung Hulu Jepai, Kampung Sumpitan dan kampung-kampung
lain.
Kampung Masjid tempat saya
dilahirkan mempunyai sejarah yang tersendiri. Di kampung inilah masjid pertama
di daerah kecil Lenggong didirikan. Dikatakan masjid itu didirikan pada
pertengahan abad ke-19 oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, di Selatan
Thailand. Mereka datang ke kampung saya kerana berundur daripada serangan
kerajaan Siam.
Kampung Masjid juga dikenali
Kampung Sekolah, kerana di kampung inilah juga sekolah Melayu pertama
didirikan, iaitu pada tahun 1880. Di sekolah inilah orang tua saya mula dididik
pada 1916.
Ketika Inggeris mula-mula
menjajah Perak, Kampung Masjid menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Lenggong.
Sebab itulah Kampung Masjid Lama Lenggong dipilih bagi didirikan Sekolah Melayu
pertama dan masjid pertama. Di kampung ini juga didirikan rumah kadi daerah Lenggong.
Kadi Lenggong pada zaman Inggeris, Haji Hashim, pernah tinggal di rumah kadi
yang terletak berhadapan Sekolah Melayu Lenggong. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun
Sufian Hashim, anak Haji Hashim, pernah tinggal di rumah tersebut semasa kecil.
Berdekatan dengan rumah saya
ada gunung kecil, iaitu gunung Tasik dan Gunung Gajah. Tidak jauh dari
kedua-dua gunung itu, terdapat pula banjaran gunung yang bersambung dengan
Banjaran Gunung Bintang.
Semua penduduk kampung tahu
bahawa gunung kecil di belakang rumah saya yang terletak kira-kira 300 meter
dari ruang dapur rumah mempunyai gua yang boleh dimasuki. Di pintu selebar
kira-kira tiga meter lebih terdapat pula sebuah batu sebesar badan kerbau yang
terbujur ke luar dari dindingnya.
Pada zaman dahulu kala, menurut
cerita orang tua kampung saya, batu itu dianggap keramat. Sesiapa sahaja yang
mempunyai hajat dan memohon kepada batu itu, seperti meminjam pinggan mangkuk
dan kuali, biasanya hajatnya akan dipenuhi.
Kononnya, menurut orang kampung
saya lagi, kerana ada orang yang meminjam tidak memulangkan apa yang
dipinjamkan, lama kelamaan batu yang dianggap keramat itu tidak dapat memenuhi
permintaan yang dipohon kepadanya.
Tidak jauh dari Gua Tasik,
terdapat pula gua Gunung Runtuh. Padanya terdapat dinding batu yang sentiasa
retak dan runtuh, lalu orang kampung menamakannya sebagai 'Gunung Runtuh'.
Profesor Datuk Siti Zarina Abdul Majid, seorang pakar kaji purba (Arkeologi)
dari USM, Pulau Pinang pernah membuat kajian di gua Gunung Runtuh. Khabarnya
satu rangka manusia telah ditemui di situ.
Di Banjaran Gunung Gajah,
terdapat banyak pokok paku aji yang agak ganjil kerana tumbuh di celah-celah
batu dan tidak pula tumbang ketika hujan lebat. Ada orang kampung mencari
rezeki di gunung tersebut dengan mengambil pokok paku aji untuk dijual. Pokok
paku aji yang tingginya tidak lebih satu atau dua meter dijual dengan harga
antara RM100.00 hingga RM300.00 sebatang.
Menurut cerita pencari pokok
paku aji, kebanyakan pembeli datang dari Kuala Lumpur. Mereka berminat dengan
pokok yang rupa daunnya semacam pokok paku, dan batangnya seperti batang
kelapa. Tumbuhan ini ada juga ditanam di beberapa buah taman di Kuala Lumpur,
Ipoh, dan Pulau Pinang. Barangkali tempat asalnya ialah di Gunung Gajah.
Banjaran Gunung Bintang
terletak sekitar tiga empat kilometer dari rumah saya. Sewaktu bersekolah, saya
menatapi banjaran itu dengan penuh perasaan. Pada waktu pagi, puncak banjaran
itu sentiasa diselaputi kabus. Jika terdapat kabus, minyak nyiur yang digunakan
oleh emak saya untuk menggoreng ikan menjadi beku. Kabus dari banjaran yang
sejauh itu sampai juga ke kampung saya.
Ramai penduduk kampung dan
orang luar yang datang ke Lenggong mengetahui tentang beberapa buah gunung
kecil yang bersambung dengan Banjaran Bintang. Agak jauh sedikit dari Gunung
Tasik dan Gunung Gajah, ada beberapa buah gua yang bersejarah. Ahli-ahli
sejarah dan kaji purba amat tertarik dengan Gua Gendang, Gua Badak, Gua Puteri,
Gua Kajang, Gua harimau, Gua Ular, Gua Tukang dan puluhan gua lagi yang
terdapat di sekitar rumah saya.
Saya masih ingat, beberapa
pakar arkeologi dari Barat pernah datang mengkaji gua tersebut. Kononnya, gua
tersebut tempat tinggal manusia zaman purba.
Bukan Orang Putih sahaja datang
mengkaji gua tersebut, bahkan para penyelidik tempatan pernah juga datang
membuat kajian. Gua Puteri dan Gua Kajang yang jauhnya kira-kira dua kilometer
dari kampung kelahiran saya sangat istimewa bagi penduduk kampung. Kononnya
pada zaman dahulu Gua Puteri ialah sebuah dewan istana yang sangat indah dengan
segala macam perhiasan.
Menurut cerita lisan yang
tersebar luas di kalangan ahli masyarakat kampung saya pada masa dahulu ada
seorang yang sangat masin mulutnya, bernama 'Sang Kelembai'. Jika dia menegur
sesuatu pastinya yang ditegur itu akan menjadi batu.
Kononnya pada suatu hari Sang
Kelembai sampai ke istana raja. Ketika itu upacara perkahwinan seorang puteri
raja sedang berlangsung. Semasa puteri raja sedang bersanding di atas pelamin
Sang Kelembai tiba serta menegur puteri raja yang sedang bersanding itu.
Serta merta puteri raja dan
suaminya bertukar menjadi batu. Hingga sekarang lembaga puteri bersanding dalam
istana itu masih ada di dalam gua yang sekarang dipanggil Gua Puteri.
Gua Puteri itu selalu saya
lawati. Lembaga atau tuan puteri yang sedang bersanding itu telah dirosakkan
oleh pelawat yang tidak bertanggungjawab. Sebahagian hidung, telinga, tangan
dan jari kaki telah dipatah-patahkan.
Berhampiran Gua Puteri itu
terdapat sebuah lagi gua, iaitu Gua Kajang. Menurut orang tua saya, mulut gua
itu menjadi tempat kami sekeluarga berlindung semasa Perang Dunia Kedua dahulu.
Gua ini tidaklah begitu besar. Namun gua tersebut juga menjadi tapak kajian
purba oleh Profesor Datuk Dr. Siti Zarina Abdul Majid.
Beliau menemui bermacam-macam
artifak seperti kapak batu, periuk, belanga dan berbagai-bagai lagi.
Terdapat beberapa gua lagi yang
ada hubung kait dengan zaman purba. Sebuah gua yang terletak jauh sedikit dari
kampung ialah gua Lognai. Letaknya kira-kira 25 kilometer ke utara dari kampung
saya. Menurut cerita orang kampung, Sang Kelembai terkurung di dalam gua itu
dan tidak dapat keluar kerana pintu gua sekonyong-konyong tertutup oleh seketul
batu besar.
Dekat rumah saya terdapat
sebuah tasik yang terletak di kaki Gunung Tasik. Orang tua saya pernah
mengatakan kepada saya bahawa tasik kecil di belakang rumah itu banyak
menyimpan legenda. Selain beberapa jenis ikan yang tidak terdapat di tempat
lain, di dalam tasik itu juga terbenam pinggan mangkuk dan barangan antik.
Artifak itu ada yang dibuang oleh orang tertentu atas sebab tertentu pula.
Orang tua saya juga pernah
menceritakan kepada saya sewaktu tentera Jepun masuk ke Hulu Perak, ramai orang
kampung lari ke hutan. Ada yang bersembunyi di dalam gua, termasuk keluarga
saya yang berlindung di Gua Kajang.
Seorang pegawai Melayu yang
bekerja di Pejabat Tanah Lenggong, daripada keluarga Diraja Perak, terpaksa
meninggalkan rumah sewanya yang terletak berdekatan dengan masjid lama
Lenggong.
Pemilik rumah tersebut ialah
Haji Hamid yang sudah lama bermastautin di Mekah. Beberapa orang pencuri
memasuki rumah yang ditinggalkan itu. Mereka mencuri pinggan mangkuk dan
perkakas rumah milik keluarga Diraja tersebut. Pinggan mangkuk tersebut semuanya
ada lambang diraja Perak.
Atas beberapa sebab tertentu,
pencuri tersebut membuang segala pinggan mangkuk yang dicuri itu ke dalam
tasik. Orang tua saya melihat sendiri bagaimana pencuri tersebut membaling satu
demi satu pinggan mangkuk ke dalam tasik. Tentulah segala khazanah antik itu
masih tersembunyi di dasar tasik tersebut.
Tetapi orang tua saya juga
memberitahu bahawa di dasar tasik itu terdapat banyak banyak bom tangan dan
segala macam peluru, senapang yang dibuang oleh tentera Jepun sebelum menyerah
diri pada 1945.
Berhampiran kampung saya, ada
sebuah kampung, Kampung Jambu. Jauhnya kira-kira satu kilometer dari rumah
kelahiran saya. Kampung Kubang Jambu ialah tempat moyang dan datuk sebelah ibu
saya bermastautin.
Di Kampung Kubang Jambu juga
terdapat sebuah tasik. Di dalamnya tumbuh sejenis pokok yang kayunya lembut dan
boleh dibuat penyumbat (tutup botol). Orang kampung menamakannya pokok jambu
laya. Daripada nama pokok itulah tasik tersebut diberi nama Kubang Jambu, tanpa
disebut tasik. Mengapa demikian halnya tidaklah pula saya ketahui dengan jelas.
Nama 'kubang' lebih sesuai
kerana banyak kerbau yang berkubang di situ ketika panas terik. Kubang yang
luas kira-kira satu ekar dan dipenuhi pokok jambu itu ada penumpangnya, iaitu
sejenis ikan yang panjangnya sampai dua meter. Orang kampung menyebutnya ikan
limbat, tetapi bukan seperti ikan limbat yang pernah saya lihat di pasar pekan
Semenyih, Selangor.
Saya pernah mengail ikan di
Kubang Jambu. Rupanya seperti ikan keli sebesar lengan dan ada yang panjang
hampir 1 1/2 meter. Ikan ini suka menggigit.
Jadi saya berhati-hati apabila
kail mengena ikan berwarna kuning seperti ular tedung selar itu. Orang kampung
tidak makan ikan yang serupa ular itu. Kata mereka, haiwan tasik makan bangkai
ayam yang dibuang ke dalam tasik.
Air Kubang Jambu tidak pernah
kering walaupun pada musim kemarau. Kononnya Kubang Jambu adalah milik
sekeluarga Orang Bunian. Menurut seorang penduduk yang tinggal hampir tasik
tersebut, dia sering melihat Orang Bunian mandi di tasik itu. Saya anggap
cerita tersebut cerita rakyat zaman dahulu kala.
Oleh: N.A HALIM
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4FqGjHGWw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment