Ad

Friday, 22 July 2016

Setem alaf baru jadi rebutan

ARKIB : 01/01/2000
Setem alaf baru jadi rebutan
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Para peminat setem bertumpu ke pejabat-pejabat pos di seluruh negara hari ini untuk mendapatkan keluaran istimewa setem sempena alaf baru.

Para pegawai pos berkata ada peminat setem yang tiba seawal pukul 5 pagi di Ibu Pejabat Pos di Kompleks Dayabumi di sini, sesuatu yang belum pernah terjadi.

''Kami terpaksa membuka kaunter tambahan untuk mengurangkan masa orang ramai menunggu, itupun ada yang merungut kerana berbaris panjang,'' kata Pengurus Biro Setem dan Filateli, Che Soh Che Awang.

Sebanyak 13 kaunter dibuka berbanding tujuh pada keluaran biasa setem pos kenang-kenangan. Kakitangan dari bahagian-bahagian lain terpaksa diambil untuk mengendalikan tugas.

''Jika biasanya peminat mendapatkan sampul surat hari pertama, istimewanya kali ini ialah ia merupakan sampul surat hari terakhir 1999 sebelum alaf baru,'' kata Che Soh.

Bagi meraikan alaf baru, set mengandungi 10 setem, setiap satu bernilai 30 sen, yang menggambarkan pelbagai ciri menarik mengenai bumi Malaysia dan sejarah negara dikeluarkan.

Satu lagi set istimewa, yang juga mengandungi 10 setem, masing-masing bernilai 30 sen, akan dikeluarkan untuk siri kedua setem alaf baru itu.

''Siri kedua ini akan dijual mulai 10 malam ini tetapi hanya di biro filateli di Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur manakala di pejabat-pejabat pos lain pada 29 Januari,'' katanya.

Sampul surat istimewa akan juga dijual kepada mereka yang membeli setem-setem khas itu di biro berkenaan malam ini.

''Kami dapati minat untuk mengumpul setem di kalangan generasi muda semakin meningkat terutama setelah keluaran setem pos kenang-kenangan memperingati Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee beberapa bulan lepas,'' kata Che Soh. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4F7vyrLjR © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment