14 Julai 2016 12:25 AM
AKSI Jesse Owens dalam acara
100 meter Sukan Olimpik Berlin 1936
AKSI Jesse Owens dalam acara
100 meter Sukan Olimpik Berlin 1936 yang menyaksikan dia meraih pingat emas.
SETAHUN sebelum Sukan Olimpik
Berlin, atlet kulit hitam Amerika Syarikat (AS), Jesse Owens memberi amaran
awal kepada pesaingnya apabila memecah lima rekod dunia dan membuat satu
catatan masa yang menyamai rekod dunia.
Salah satu daripada rekod
tersebut iaitu 8.13 meter dalam lompat jauh bertahan selama 25 tahun. Namun apa
yang benar-benar menjadikan Owens seorang wira ialah menundukkan keegoan
Canselor Jerman, Adolf Hitler.
Bagi Hitler dan Nazi, Olimpik
Berlin diharapkan menjadi medan untuk Jerman mempamer kekuasaan bangsa Aryan.
Malah Hitler mencela AS kerana menampilkan atlet berkulit hitam.
Owens menutup mulut pengkritik
dengan meraih empat pingat emas (100m, lompat jauh, 200m dan 200m
berganti-ganti), selain memecah dua rekod Olimpik.
Selepas Owens memenangi acara
100m, Hitler dikatakan amat marah dan meninggalkan stadium dengan tergesa-gesa.
Bagaimanapun terdapat laporan mengatakan Hitler mengucapkan tahniah kepada
Owens.
Walaupun Owens membantu
kemenangan AS di Berlin, kepulangannya tidak benar-benar diraikan sebagaimana
yang dijangka banyak pihak.
Presiden Franklin D. Roosevelt
gagal bertemu Owens dan mengucapkan tahniah sebagaimana kebiasaan terhadap
atlet Olimpik yang meraih pingat.
Dia tidak menerima
pengiktirafan sewajarnya sehinggalah pada 1976 apabila Presiden Gerald Ford
menganugerahkan Pingat Keamanan Presiden.
Owens sendiri terkejut dengan
layanan yang diterimanya dan sikap hipokrit AS. Dia dilaporkan pernah berkata:
“Apabila saya kembali ke tanah air, selepas apa yang diperkatakan tentang
Hitler, saya tetap tidak boleh duduk di bahagian depan bas.
“Saya perlu menaiki bas melalui
pintu belakang. Saya tidak dapat tinggal di tempat yang saya mahu. Memang saya
tidak dijemput untuk berjabat tangan dengan Hitler namun saya juga tidak
dijemput ke Rumah Putih untuk bersalam dengan Presiden.”
Owens meninggal dunia akibat
kanser paru-paru pada 1980 dan terdapat jalan serta sekolah di Berlin yang
dinamakan sempena namanya.
Dua pos AS turut menampilkan
gambarnya, manakala taman peringatan dibuka di Alabama bagi mengenang
pencapaiannya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/jesse-owens-calarkan-ego-hitler-1.353199#sthash.A490eNpP.dpuf
No comments:
Post a Comment