Pada hari ini 3.7.1919 Datuk
Jaafar Haji Muhammad telah meninggal dunia. Datuk Jaafar adalah Menteri Besar
Johor yang pertama. Beliau dilahirkan dalam tahun 1838 di Teluk Belanga Singapura,
dan mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau adalah berketurunan
Bendahara Paduka Raja Johor dan Bendahara Kerajaan Melaka. Beliau mulai
berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor ketika berumur 16 tahun, sebagai
Pelatih Kerani di Pejabat Menteri kepada Temenggung Ibrahim. Dalam tahun 1856
beliau telah dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Menteri, dan kemudiannya
beliau terus memangku jawatan Dato' Menteri sehingga tahun 1882, dan kemudian
terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor oleh Maharaja Abu Bakar. Perlantikan
Datuk Jaafar bin haji Muhammad sebagai Menteri Besar ini adalah merupakan
peristiwa bersejarah bagi negeri Johor, kerana inilah julung-julung kalinya
seorang Menteri Besar dilantik dalam pentadbiran kerajaan Johor. Beliau adalah pengiring
Maharaja Abu Bakar dalam lawatan pertamanya ke Eropah pada tahun 1866. Ketika
memegang tugas sebagai Menteri Besar, beliau pernah memangku tugas Sultan
Johor untuk menjalankan pentadbiran
negeri, ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904 beliau telah dilantik
oleh Sultan sebagai Pemangku Raja. Di samping terkenal sebagai seorang Pegawai
kerajaan yang setia, cekap, bijak, amanah dan berterus terang beliau juga
adalah salah seorang tokoh pentadbir Negeri Johor yang menentang cubaan campur
tangan Inggeris di Johor pada tahun 1910. Bagi mengenang jasa dan bakti beliau
kepada kemajuan negeri Johor, baginda Sultan telah menganugerahkan Darjah Seri
Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada beliau. Beliau juga dikurniakan Darjah
Ketiga Bintang St. Michael dan St. George oleh Queen Victoria England.
SUMBER-http://www2.arkib.gov.my/hids
No comments:
Post a Comment