SUSUNAN SAIFUL HAIZAN HASAM
(SUKAN@UTUSAN.COM.MY) | 12 Julai 2016 12:06 AM
AMSTERDAM akhirnya dipilih tuan
rumah Olimpik selepas tiga kali membida.
Kejohanan pada 1928 itu
bagaimanapun bermula dengan kontroversi apabila Permaisuri Belanda, Ratu
Wilhelmina enggan menghadiri majlis pembukaan berikutan bantahan terhadap acara
yang berlangsung pada hari Ahad.
Berikutan itu, kejohanan
berkenaan dirasmikan oleh Putera Hendrik. Idea mengenai perkampungan sukan
tidak relevan dalam kejohanan tersebut kerana banyak pasukan menyediakan
penginapan di dalam kapal mereka yang berlabuh di Pelabuhan Amsterdam.
Kejohanan itu terpahat dalam
sejarah Olimpik sebagai yang pertama membenarkan wanita menyertai acara trek
dan gimnastik artistik walaupun dibantah bapa Olimpik moden, Pierre de
Coubertin yang tidak menghadiri Olimpik Amsterdam 1928 kerana uzur.
Sebelum ini, atlet wanita
hanya dibenar menyertai acara tenis, golf, memanah, perahu layar, berenang dan
lawan pedang.
Jerman yang kembali ke Olimpik
selepas 16 tahun tidak menyertainya akibat Perang Dunia I dan sekatan 10 tahun
berikutan penglibatan negara itu dalam konflik berkenaan turut meraih pingat
acara 800 meter wanita menerusi Lina Radke-Batschauer.
Perlumbaan itu bagaimanapun
tercemar kerana kebanyakan pesaingnya menamatkan larian dalam keadaan terlalu
penat dan selepas itu wanita tidak dibenarkan menyertai acara larian sejauh itu
sebelum dibenar semula dalam Olimpik 1960.
Amsterdam 1928 juga merupakan
Olimpik pertama menerima tajaan Coca-Cola yang menyediakan kapal kargo untuk
menghantar pasukan Amerika Syarikat (AS) dan 1,000 bekas minumannya ke Belanda.
Hubungan Jawatankuasa Olimpik
Antarabangsa (IOC) dan Coca-Cola berterusan hingga hari ini.
Dalam aspek prestasi kejohanan,
Olimpik 1928 menyaksikan tiada atlet tunggal yang berjaya mendominasi
kejohanan.
Atlet legenda Finland, Paavo
Nurmi umpamanya, kembali ke Olimpik dan berjaya meraih tiga lagi pingat, namun
hanya satu yang berwarna emas.
Antara yang berjaya menonjol
adalah atlet renang yang kemudiannya menjadi bintang filem Tarzan, Johnny
Weissmuller dari AS yang juga kembali ke Olimpik dan sekali lagi memenangi dua
pingat emas.
Sumber:http://www.utusan.com.my/sukan/pembaharuan-di-amsterdam
1.352167#sthash.dwzRFWSc.dpuf
No comments:
Post a Comment