Ad

Tuesday 12 July 2016

Demam Piala Malaysia bermula

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  12 Julai 2016 12:07 AM 
TONGGAK import PKNS FC, Gabriel Miguel Guerra (kiri) bakal menjadi senjata berbahaya Reds Ants dalam pertemuan menentang JDT pada kempen Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, hari ini.

KUALA LUMPUR 11 Julai - Selepas menyaksikan Portugal menjuarai Euro 2016 menumpaskan Perancis 1-0 dalam saingan akhir awal pagi ini, kini peminat bola sepak tempatan sudah boleh mengalihkan tumpuan mereka kepada aksi Piala Malaysia yang bakal membuka tirai pertandingan, esok.
Sebanyak lapan perlawanan peringkat kumpulan dijadual berlangsung esok dan Rabu, antara aksi yang paling mencuri tumpuan adalah pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang PKNS FC dalam Kumpulan C.
Pertemuan tersebut boleh dianggap sebagai aksi ulangan kepada perlawanan akhir Piala FA 2016 di mana skuad Harimau Selatan berjaya menjulang trofi kejuaraan selepas menundukkan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam.
Bagi pengendali skuad Red Ants, E. Elavarasan pertemuan pertama dalam aksi kumpulan menjadi ukuran kepada hala tuju pasukan dan dia mahu anak-anak buahnya berusaha keras untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, biarpun menyedari beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin merupakan kubu kuat JDT.
“Semua orang tahu JDT pasukan yang mantap. Namun dalam Piala Malaysia macam-macam boleh berlaku. Bagi saya, kalau dapat curi satu mata sudah memadai. Saya tahu bukan mudah untuk melakukannya, apatah lagi mereka merupakan pendahulu Liga Super ketika ini.
“Main di tempat lawan menyukarkan lagi misi kami, namun saya fikir kami perlukan permulaan positif dalam aksi pertama kerana ia menentukan hala tuju pasukan dalam kempen Piala Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, juara bertahan, Selangor bakal berdepan Kuala Lumpur dalam Kumpulan B di Stadium Shah Alam dan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, jurulatih Kuala Lumpur, Ismail Zakaria enggan memberi laluan mudah kepada Red Giants biarpun terpaksa beraksi di gelanggang lawan, malah sudah lama bersedia dengan strategi serta taktikal yang bakal dipersembahkan pada hari perlawanan.
“Saya tahu, Selangor ada pemain yang berpengalaman kalau hendak dibandingkan dengan kami yang masih baharu. Bagi saya, kalau kami mahu atasi mereka, kami perlu ada taktikal dan strategi yang baik untuk menghadapi Selangor,” katanya.
Ismail membuat beberapa rombakan apabila membawa masuk dua pemain import baharu, Diego Inostroza dan Jonathan Cantillana mengeluarkan Casagrande serta Mario Karlovic ketika jendela perpindahan dibuka, selain mendapatkan khidmat Nazri Ahmad dan Ibrahim Syaihul.
“Saya mencari dua pemain import baharu kerana mahu terus kekal bersaing dalam saingan liga. Matlamat utama kami untuk memenangi Liga Perdana dan layak ke Liga Super. Bukan saya mahu katakan Piala Malaysia tidak penting cuma agak mustahil bagi kami untuk kekal dalam dua kejohanan berbeza pada masa sama,” katanya lagi.
Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan Kelantan bertemu Pahang di Stadium Sultan Mohamad IV. Terengganu FC II (TFC II) menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dalam Kum­pulan A.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/demam-piala-malaysia-bermula-1.352193#sthash.EkCqAsmA.dpuf

No comments:

Post a Comment