Ad

Tuesday, 10 September 2013

Harimau Muda ke final

Oleh NOR AZIRAN YUNUS aziran.yunus@kosmo.com.my

WAN ZACK (kiri) bersaing dengan pertahanan Myanmar, Thein Than Win pada aksi Pestabola Merdeka 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.


SKUAD Harimau Muda menempah tiket ke final Pestabola Merdeka 2013 selepas berjaya menjinakkan Myanmar 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Harimau Muda mendahului saingan dengan enam mata maksimum selepas menang 1-0 ke atas Singapura dalam aksi pertama Sabtu lalu.
Beraksi di atas padang kering malam tadi, Harimau Muda menampilkan permainan lebih tersusun berbanding ketika menentang Singapura.
Seawal minit ketiga, pemain sayap Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor membuat larian pantas bagi membelah benteng pertahanan Myanmar, namun rembatan pemain kelab Ryukyu FC itu tepat ke dakapan penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung.
Tujuh minit kemudian, perancang Myanmar, Kyi Lin pula mendapat peluang di hadapan pintu gol Harimau Muda, namun percubaannya sedikit tersasar.
Myanmar mendapat peluang menerusi sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol Malaysia pada minit ke-15, namun penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi sudah dapat membaca sepakan kapten Myanmar, Kyaw Zayar Win.
Peluang terbaik Harimau Muda sekali lagi hadir menerusi Wan Zack pada minit ke-20, namun sepakan percumanya sekadar menggegar palang Myanmar.
Stadium bergema apabila pemain tengah Harimau Muda, Putera Nadher Amarhan atau Junior Eldstal berjaya menanduk masuk gol hasil satu sepakan penjuru pada minit ke-26.
Namun jaringan itu dibatalkan oleh pengadil dari Singapura, Abd. Malik Abd. Bashir kerana dia belum mengarahkan sepakan dilakukan.
Memasuki minit ke-38 berpunca daripada sepakan penjuru, tonggak Myanmar, Nay Lin Tun berjaya menanduk masuk gol pembukaan perlawanan .
Gol yang dicari-cari Harimau Muda akhirnya tercipta pada minit ke-64 apabila kapten, Mohd. Irfan Fazail bijak menyudahkan hantaran Putera hasil sepakan percuma yang diambil Wan Zack.
Wan Zack mengesahkan kemenangan Harimau Muda menerusi sepakan percuma yang cukup menarik pada minit ke-78.
Bagi pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, beliau sudah menjangkakan kesukaran dalam perlawanan menentang lawan kental seperti Myanmar.
"Semasa rehat separuh masa, saya meminta para pemain melupakan aksi separuh masa pertama dan bangkit.
"Berkat usaha keras serta tidak mengenal erti kecewa akhirnya kami mampu membuat kebangkitan seterusnya menewaskan Myanmar 2-1," katanya.
kOSMO ONLINE 10.9.13

No comments:

Post a Comment