RISWANDI RAZAK
3 April 2014
Analisis
SPEKULASI berhubung MH370
sentiasa wujud sejak hari pertama pesawat MAS itu hilang 8 Mac lalu dan
spekulasi atau teori ini akan tetap dibangkitkan di internet selagi pesawat ini
tidak berjaya ditemui.
Sehingga kini, pasukan mencari
dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan
dengan MH370.
Walaupun sebelum ini satelit
telah berjaya mencerap beberapa objek di selatan Lautan Hindi dan pesawat
menjumpai serpihan di lokasi SAR namun ia disahkan bukan milik MH370.
Terdapat pelbagai spekulasi
yang dibangkitkan termasuk yang mengatakan pesawat itu sudah mendarat secara
rahsia di China dan ada juga yang mendakwa pesawat mendarat di Pakistan ataupun
Hong Kong.
Namun, terdapat satu teori yang
dilihat mendapat respons yang tinggi dari masyarakat dunia iaitu teori pesawat
mendarat di Diego Garcia, sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di
Lautan Hindi.
Diego Garcia terletak di
selatan Kepulauan Maldives dan merupakan pangkalan tentera AS yang penting
dalam kempen serangan AS terutama terhadap Iraq dan Afghanistan.
Dakwaan penduduk Maldives kukuh
Spekulasi yang mengaitkan Diego
Garcia ini mula dibangkitkan secara serius apabila apabila penduduk di Maldives
mendakwa melihat pesawat terbang rendah di selatan kepulauan tersebut.
Ada pihak mendakwa pesawat
tersebut merupakan MH370 dan telah mendarat di Diego Garcia kerana kedudukan
kedua-dua pulau yang berdekatan.
Jarak antara Diego Garcia
dengan Addu City, yang terletak di selatan Kepulauan Maldives (Pulau Addu)
adalah 740km.
Difahamkan, teori ini timbul
berdasarkan kiraan secara kasar waktu MH370 membuat pusingan balik di sempadan
Malaysia - Vietnam dan waktu ketika penduduk Maldives melihat pesawat tersebut.
MH370 berlepas dari KLIA pada
12.41 pagi dan pesawat ini terputus hubungan pada 1.21 pagi.
Jika diambil kira penerbangan
dari KLIA ke Maldives iaitu sekitar 4 jam, 24 minit dan waktu penduduk Maldives
melihat pesawat iaitu 6.15 pagi, jumlah waktu penebangan ini adalah relevan.
Ini kerana, waktu penerbangan
ini perlu ditambah 40 minit iaitu tempoh MH370 berpatah balik hingga kedudukan
pesawat hilang dari radar.
Teori penduduk Maldives ini
tidak boleh ditolak begitu sahaja kerana penduduk di Semenanjung Malaysia
terutama di Kelantan, Perak dan Terengganu juga mendakwa mereka melihat pesawat
terbang rendah pada hari malang buat
MH370 itu.
Difahamkan, pesawat tersebut
adalah MH370 berdasarkan radar tentera yang berjaya mengesan pesawat tersebut
membuat pusingan balik menghala ke Selat Melaka.
Spekulasi Diego Garcia terus
berada di tempat pertama
Selain itu, teori Diego Garcia
ini juga dikaitkan menerusi mimpi seorang ustaz yang mendakwa MH370 mendarat di
sebuah pangkalan tentera dan penumpang serta kru masih selamat.
Antara teori yang menarik
berhubung Diego Garcia adalah spekulasi bahawa tentera AS telah mengawal MH370
sebaik sahaja pesawat itu hilang dari radar.
Spekulasi tersebut mengaitkan
dakwaan tentang wujud peralatan ketenteraan yang menjadi rebutan kuasa besar
dunia dalam pesawat tersebut.
Alat tersebut dikatakan
berkemampuan untuk mengmengawal Drone tanpa pemandu yang pernah digunakan
ketika AS berperang di Afghanistan.
Difahamkan, China berusaha
untuk membawa pulang sistem ketenteraan ini menerusi laluan pesawat komersil
yang dianggap lebih selamat.
Namun, AS berjaya memintas
pesawat ini dan membawa MH370 keluar dari radar Malaysia menuju ke Lautan Hindi
bagi mengelak di kesan radar mana-mana negara dan kemudiannya dibawa ke Diego
Garcia untuk disimpan di sana.
Nasib penumpang tidak diketahui
tetapi pesawat MH370 itu dikatakan diterbangkan semula untuk terhempas Lautan
Hindi menggunakan sistem kawalan jarak jauh.
Apa yang paling menarik dalam
spekulasi ini adalah landasan lapangan terbang Diego Garcia adalh antara lima
penemuan pasukan penyiasat dalam program simulator milik Kapten Zaharie Ahmad
Shah yang diambil dari rumahnya di Shah Alam.
Selain Diego Garcia, antara
perisian landasan yang diperiksa setakat ini ialah Lapangan Terbang
Antarabangsa Male di Maldives serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka,
yang semuanya mempunyai jarak landasan lebih 1,500 meter.
Namun, pihak penyiasat sehingga
kini masih menafikan dakwaan MH370 mendarat di Diego Garcia dan pasukan
penyiasat berpegang kepada maklumat bahawa MH370 berakhir di Selatan Lautan
Hindi.
Berakhir, bukannya terhempas di
Lautan Hindi
Sebelum ini, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan
Hindi berdasarkan kepada siasatan syarikat satelit Inmarsat dan Air Accident
Investigation Branch (AAIB) di Britain.
Pemangku Menteri Pengangkutan,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam temubual bersama media tempatan
memberitahu berhubung persoalan mengenai Diego Garcia, beliau sendiri akan
bertanya kepada AS dalam Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean yang bermula
kelmarin.
Spekulasi sentiasa wujud,
selagi operasi SAR di selatan Laut Hindi tidak berjaya menjumpai sebarang objek
yang boleh dikaitkan dengan MH370.
Sehingga kini operasi SAR yang
diketuai Australia masih gagal menemui petunjuk yang jelas di mana pesawat ini
berada dan mereka kini sedang berusaha
untuk mengesan perakam kotak hitam milik MH370 sebelum kuasa baterinya habis.
Menteri Pertahanan Australia,
David Johnston mengakui, usaha mencari kotak hitam itu hanya mempunyai peluang
tipis berikutan serpihan pesawat perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi
mengesan lokasi kemalangan pesawat tersebut.
"Kami mempunyai kira-kira
seminggu sahaja untuk mengesan kotak hitam pesawat MH370. Malah, ia juga
bergantung kepada suhu, kedalaman dan tekanan laut, berapa lama kuasa baterinya
boleh bertahan," katanya.
Tumpuan siasatan kini masih
tertumpu kepada empat elemen iaitu melibatkan rampasan, sabotaj, masalah
peribadi kru dan penumpang.
Sehingga kini siasatan polis
telah selesai dan polis mendapati semua penumpang pesawat MAS yang hilang
"bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan
peribadi.
Namun, Ketua Polis Negara, Tan
Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang
dan pembantu juruterbang masih dijalankan.
Menurut sumber yang enggan
dikenali, arah tuju pesawat yang menghala ke Lautan Hindi itu sendiri telah
jelas menunjukkan pesawat itu dirampas dan bukan akibat masalah pada pesawat
ataupun dikawal dari jarak jauh.
“Pesawat itu menuju ke Lautan
Hindi iaitu lautan yang amat sunyi dan sudah tentu ia menuju ke suatu tempat
yang tidak diketahui.
“Saya percaya ia melibatkan
rampasan tetapi yang menjadi persoalan ialah siapa dan mengapa pesawat itu
dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.
Spekulasi-spekulasi yang timbul
tidak wajar ditolak mentah-mentah kerana sehingga kini bukti atau petunjuk yang
boleh dikaitkan dengan MH370 masih belum ada.
Apa sahaja yang dibangkitkan di
internet masih boleh diterima, sekiranya teori tersebut mempunyai fakta atau
hujah sokongan yang relevan.
Kini, kesemua persoalan
berhubung 'di mana MH370' tertumpu kepada operasi SAR yang diketuai oleh
Australia, sama ada jawapan ini terjawab dalam masa terdekat ataupun tidak, ia
bergantung kepada ketentuan Tuhan, kita manusia hanya mampu merancang sahaja.
No comments:
Post a Comment