3 April 2014
Guna dron bawah air kesan MH370
Najib bersama Tony Abbort (dua, kanan) ketika beramah mesra bersama juruterbang
dan anak kapal Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Pangkalan RAAF Pearce
Bullsbrook di Perth, hari ini. - Foto Bernama
PERTH - Sebuah kapal selam
robotik atau dron bawah permukaan air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam
operasi mencari dan mengesan (SAR) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi,
kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri Malaysia itu
berkata, beliau telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Australia, Tony
Abbott mengenai keperluan untuk mendapatkan bantuan daripada negara-negara lain
bagi teknologi berkenaan.
Najib berkata teknologi itu
diperlukan sebaik pinger bateri pada kotak hitam kehabisan (dalam tempoh empat
hari) dan perlu bagi pasukan SAR mencari pesawat berkenaan, Boeing 777-200ER.
Dron bawah permukaan air adalah
antara perkara-perkara penting yang dibincangkan kedua-dua pemimpin dalam
pertemuan di Commonwealth Centre, di sini, pada Khamis.
Dron bawah permukaan air
bergantung kepada denyutan sonar untuk mencari di dasar laut dan ia pernah
digunakan untuk membantu mengesan pesawat Air France 447 yang terhempas di
Atlantik pada tahun 2009.
"Perbincangan adalah
mengenai penggunaan teknologi sonar, dron robotik dan kamera-kamera,"
katanya kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Abbott,
di sini.
Najib berkata pada masa ini
operasi mencari menggunakan pesawat dan kapal-kapal tentera laut akan
diteruskan meskipun ia adalah usaha mengejar waktu sebelum bateri kotak hitam
yang menghantar isyarat ping hilang dalam tempoh beberapa hari lagi.
Beliau juga berkata Malaysia
akan menghantar lebih banyak aset untuk turut serta dalam misi carian di
kawasan berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Pesawat Penerbangan MAS MH370
yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac
setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah
malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat
di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Operasi membabitkan pelbagai
negara itu dikerah mencari MH370 bermula di Laut China Selatan dan Selat Melaka
sebelum dilakukan di koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan
Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan yang meliputi dari Indonesia
sehingga ke selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis
terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat
dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370
terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan
Hindi, barat Perth.
Najib kemudian mengumumkan pada
24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan
MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Ditanya mengenai laporan berita
yang mendakwa penyiasatan penerbangan asing akan mengambil alih siasatan
kehilangan pesawat itu, beliau berkata: "Di bawah undang-undang
antarabangsa, Malaysia mempunyai tanggungjawab mutlak dalam kes
berkenaan."
Najib turut tersentuh dengan
komitmen yang diberikan oleh anggota pasukan SAR berikutan moral mereka masih
tinggi walaupun operasi telah berjalan lebih daripada tiga minggu.
Najib menjelaskan lawatan dua
hari beliau ke Australia adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan
SAR MH370 dan kerajaan Australia secara peribadi termasuk 25 negara atas usaha
mereka untuk mengesan pesawat itu.
Turut mengiringi Najib dalam
lawatan dua hari bermula semalam itu ialah isteri Datin Seri Rosmah Mansor,
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan
Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia
Tan Sri Rodzali Daud, Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Jamaluddin Jarjis, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin
Ahmad.
Najib dan delegasi dijadual
berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi tiga hari, pada Khamis malam. – Bernama
RUJUKAN –SINAR HARIAN ONLINE 3.4.14
No comments:
Post a Comment