Ad

Friday, 25 June 2021

Aidil pasrah status saingan Piala AFC

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Aidil Sharin Sahak (kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO Ihsan KDA FC

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak bersedia dengan segala kemungkinan mengenai penganjuran Piala AFC yang ketika ini menemui jalan buntu dalam mencari tuan rumah bagi kejohanan terbabit.

Harapan besar semestinya agar saingan itu tidak dibatalkan memandangkan pasukan sudah melakukan persiapan rapi terutamanya dalam tempoh saingan Liga Malaysia (Liga M) sedang berehat ketika ini.

Jelas Aidil, mereka sentiasa bersedia dan tidak kisah ia diadakan di mana-mana negara sekalipun kerana apa yang penting adalah barisan pemain sudah bekerja keras sejak musim lalu untuk memastikan slot ke Piala AFC dan mahu usaha itu terbayar apabila dapat beraksi.

Namun, semuanya bergantung kepada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mencari jalan terbaik selepas Singapura menarik diri menjadi tuan rumah bagi saingan itu.

"Macam mana pun kami tetap profesional dan masih sabar menunggu keputusan yang akan dibuat itu, selain latihan juga masih dilakukan seperti biasa.

"Yang penting, saya bersyukur kami masih lagi dapat menjalani latihan cuma tiada apa yang pasti lagi ketika ini, jadi mahu atau tidak, kami kena sentiasa bersedia kerana apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Saya tidak kisah pun mengenai venue atau negara mana yang akan jadi tuan rumah, yang penting Piala AFC tetap berlangsung kerana ini juga untuk pemain-pemain yang sudah berusaha untuk layak ke saingan ini," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro mendedahkan saingan Piala AFC kemungkinan dibatalkan selepas tiada negara yang berminat menggantikan Singapura sebagai tuan rumah.

Malah usaha AFC menawarkan kepada negara berkecuali yang tidak terbabit dalam saingan kelas kedua kelab-kelab Asia itu juga tidak mendapat kerjasama apabila kebanyakan negara masih menutup pintu sempadan ekoran Covid-19 yang masih membimbangkan.

Mengulas mengenai perkembangan pasukan yang kini sedang menjalani latihan secara berpusat atau Camp Based Training di Baling, Kedah, Aidil mahu barisan pemain tidak hanya memikirkan mengenai Piala AFC sebaliknya mengambil serius baki aksi Liga Super yang dijangka lebih sengit.Meskipun ketika ini Kedah selesa di tangga ketiga liga, namun beliau merasakan kedudukan itu mampu dicabar lawan seperti Selangor FC, Kuala Lumpur City FC atau Penang FC yang dilihat semakin garang mempersiapkan skuad untuk baki saingan selepas ini.

Disiarkan pada: Jun 25, 2021 @ 6:08pm.1

__________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722603/aidil-pasrah-status-saingan-piala-afc

No comments:

Post a Comment