AFP
DUMFRIES (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
Amsterdam: Denzel Dumfries menjaringkan gol dramatik lewat permainan ketika membantu Belanda yang kembali di kejohanan utama melakar kemenangan 3-2 ke atas Ukraine pada perlawanan pertama kedua-dua pasukan di Amsterdam, hari ini.
Dumfries, pertahanan PSV Eindhoven, menanduk masuk bola hantaran pemain gantian, Nathan Ake di babak kedua selepas Belanda mensia-siakan kelebihan dua jaringan apabila Ukraine berjaya menyamakan kedudukan.
Kapten Georginio Wijnaldum dan Wout Weghorst masing-masing menjaringkan gol kurang sejam permainan di Johan Cruyff Arena namun Ukraine membuat penyokong tuan rumah tergamam selepas Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk berjaya menyamakan kedudukan.
Skuad bimbingan Frank de Boer akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi Dumfries sekali gus memberi motivasi kepada Belanda yang tampil kali pertama di kejohanan utama selepas tujuh tahun.
Mereka kini berharap dapat meneruskan momentum itu apabila bertemu Austria pada perlawanan seterusnya Kumpulan C.
Belanda mempamerkan aksi cemerlang di depan kira-kira 16,000 penyokong yang membawa kain rentang untuk memberi sokongan kepada Christian Eriksen selepas bintang Denmark itu rebah di atas padang semalam.
Eriksen mencipta namanya bersama kelab Belanda, Ajax Amsterdam sebelum berhijrah ke Tottenham Hotspur pada 2013.
Selepas gagal beraksi di Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 di Russia, Belanda beraksi pada penampilan pertama mereka di kejohanan utama sejak menewaskan Brazil 3-0 untuk meraih tempat ketiga Piala Dunia 2014.
Mereka tidak pernah memenangi perlawanan di Euro hampir 13 tahun sejak Klaas-Jan Huntelaar dan Robin van Persie menjaringkan gol untuk kemenangan 2-0 ke atas Romania pada Euro 2008.
Barisan pemain seperti Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt memberikan harapan baru kepada penyokong Oranje pada masa depan.
Disiarkan pada: Jun 14, 2021 @ 6:14am
No comments:
Post a Comment