Ad

Wednesday, 23 June 2021

Bonnie suntik semangat atlet Sarawak lakar kejayaan cemerlang - Abdul Karim

2021-06-23T14:37:20+08:00



KUCHING: Kejayaan atlet para negara Bonnie Bunyau Gustin memecah rekod dunia pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjadi suntikan semangat kepada semua atlet Sarawak melakar kejayaan membanggakan dalam bidang-bidang sukan diceburi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejayaan Bonnie itu membuktikan atlet-atlet lain negeri ini dapat berjaya di pelbagai peringkat kejohanan jika mempunyai ketekunan serta komitmen tinggi.

"Harapan saya dengan pencapaian Bonnie yang membanggakan ini, atlet-atlet Sarawak baik atlet para atau yang lain sedar bahawa jika kita tekun dan sentiasa mempunyai komitmen tinggi, tiada yang mustahil...Kita mampu melakar kejayaan hebat seperti Bonnie," katanya hari ini.

Abdul Karim berkata kejayaan Bonnie itu sudah tentunya berita gembira serta membanggakan buat rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

"Saya berasa sungguh gembira kerana Bonnie, seorang atlet para Sarawak telah memecah rekod dunia dalam acara angkat berat pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11.

"Sebelum ini beliau mencapai prestasi cukup baik di peringkat Asia, sekarang di peringkat dunia hanya dalam jangka masa satu, dua bulan. Satu pencapaian yang begitu membanggakan kita," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Bonnie akan membawa pulang pingat emas pada Kejohanan Paralimpik di Tokyo, Ogos depan.

Kejayaan Bonnie melakukan angkatan bebanan seberat 230 kilogram (kg) dalam kategori lelaki atas 72 kg itu menyaksikan beliau merangkul pingat emas bagi acara berkenaan.

Atlet China, Peng Hu meraih perak dengan angkatan terbaik 214 kg manakala Nnamdi Innocent dari Nigeria memperoleh gangsa (213 kg).

Bonnie memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.

Ia merupakan kejayaan kedua berturut-turut atlet kelahiran Kuching, Sarawak tahun ini, selepas beliau menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara sama pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand bulan lepas.

Pada kejohanan di Bangkok, atlet berusia 22 tahun itu berjaya melakukan angkatan bebanan seberat 226 kg untuk meraih pingat emas manakala juara Sukan Paralimpik London 2012 Nader Moradi dari Iran merangkul perak (204 kg) diikuti Alexandr Daskov dari Kazakhstan di tempat ketiga (140 kg).1

_______________________________

1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/23/bonnie-suntik-semangat-atlet-sarawak-lakar-kejayaan-cemerlang-abdul-karim

No comments:

Post a Comment