Agensi
GAYA Ronaldo selepas menjaringkan gol ketika menentang Hungary. FOTO AFP
London: Cristiano Ronaldo tidak jemu memburu rekod walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun. Legenda Portugal itu meledak dua gol ketika menentang Hungary pada aksi pertama pasukannya di Euro 2020 semalam untuk jaringan antarabangsa ke-106.
CR7 kini hanya perlukan tiga gol lagi bagi memintas rekod sepanjang zaman milik penyerang Iran, Ali Daei.
Bukan sahaja dua jaringannya ketika menentang Hungary menjadi tumpuan malah Ronaldo turut mencipta enam rekod keseluruhan dalam perlawanan itu.
1. Pemain pertama beraksi di lima Euro berbeza
Kejohanan pertama Ronaldo pada 2004 di tempat sendiri berakhir dengan kekecewaan selepas Portugal tewas 0-1 kepada Greece.
Namun 17 tahun kemudian, Ronaldo mengetuai pasukannya sebagai juara bertahan. Aksi menentang Hungary bermakna dia pemain pertama tampil di lima Euro berbeza. Rekod yang belum pernah dicipta mana-mana pemain.
2. Penjaring paling tua Portugal di kejohanan utama.
Ketika Ronaldo meledak penalti ketika menentang Hungary, dia muncul penjaring tertua negaranya di kejohanan utama pada usia 36 tahun, 130 hari. Rekod sebelumnya milik Pepe di Piala Dunia 2018 (35 tahun, 124 hari).
3. Pemain pertama menjaringkan gol di lima kejohanan Euro
Menakjubkan apabila Ronaldo menembusi gawang lawan pada setiap Kejohanan Eropah yang disertainya. Jaringan pertamanya pada peringkat kumpulan kejohanan 2004 ketika Portugal tewas mengejut 1-2 dan pada 2021, ledakan dari jarak 10 meter bermakna dia menjaringkan gol pada lima Euro berbeza.
4. Pemain paling tua di Euro menjaringkan dua gol
Ketika dia bersahaja memperdayakan Peter Gulacsi untuk gol kedua perlawanan, satu lagi rekod tercipta. Cristiano muncul pemain tertua menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dalam satu perlawanan di Kejohanan Eropah memintas legenda Ukraine, Andriy Shevchenko yang berusia 35 tahun 256 hari pada Euro 2012.
5. Penjaring terbanyak sepanjang zaman EropahKetika dia menghampiri rekod Ali Daei, Ronaldo turut mencipta sejarah Euro. Sebelum menentang Hungary, dia menyamai catatan legenda Perancis, Michel Platini dengan sembilan gol sebagai penjaring terbanyak Euro.
Namun dua jaringannya di Budapest bermakna rekod baharu milik Ronaldo dengan 11 gol.
6. Pemain paling banyak meraih kemenangan di Euro
Ketika membantu Portugal menewaskan Hungary 3-0, Ronaldo mencipta rekod peribadinya sendiri. Dia muncul pemain paling banyak menang perlawanan di Euro dengan rekod 12 kemenangan.
Rekod sebelum itu milik pemain tengah Sepanyol, Cesc Fabregas dan Andres Iniesta dengan 11 kemenangan.Disiarkan pada: Jun 17, 2021 @ 8:58am
No comments:
Post a Comment