Oleh Meja Sukan
16 Jun 2021, 12:36 am
PETALING JAYA: Harimau Malaya merehatkan Safawi Rasid dan memberi kepercayaan kepada bintang remaja berusia 19 tahun, Arif Aiman Hanapi untuk mengisi kesebelasan utama menentang Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand sebentar lagi.
Jangkaan awal bahawa Tan Cheng Hoe mungkin tidak menurunkan pemain naturalisasi buat kali pertama bagaimanapun meleset apabila Guilherme de Paula kekal mengetuai serangan.
Bagaimanapun ketiadaan tiga tonggak akibat penggantungan, Mohamadou Sumareh, Corbin Ong dan Syamer Kutty Abba mendorong Malaysia melakukan rombakan besar.
Syahmi Safari akhirnya membuat penampilan pertama dengan mengisi posisi bek kiri, manakala Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid diturunkan dalam kesebelasan utama.
Cheng Hoe juga mengeluarkan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias untuk diganti dengan penjaga gawang Selangor, Khairulazhan Khalid.
Malaysia yang berkongsi sembilan mata bersama Thailand perlu menang untuk meraih tiket automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 selaku pasukan tangga ketiga kumpulan.
Kalah atau seri menyebabkan mereka menutup kempen di tangga keempat dan terpaksa menunggu keputusan tujuh kumpulan lain untuk mengetahui sama ada layak atau tidak meneruskan saingan selaku empat pasukan terbaik (kedudukan keempat).
Harimau Malaya turun mencari kemenangan pertama di Dubai selepas kalah 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), diikuti 1-2 di tangan Vietnam. – AGENSI.1
-________________________________________
No comments:
Post a Comment