PENJAGA gol Poland, Wojciech Szczesny terduduk dan hanya mampu memerhati sahaja bola masuk ke gawang buat kali kedua ketika menentang Slovakia. – AFP
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
16 Jun 2021, 12:00 pm
ST. PETERSBURG: Dua pemain Poland, Wojciech Szczesny dan Grzegorz Krychowiak mencipta sejarah malang sewaktu tewas 1-2 kepada Slovakia pada aksi Kumpulan E Euro 2020 di Stadium Krestosvky, semalam.
Szczesny memahat namanya dalam sejarah penganjuran Euro selepas muncul penjaga gol pertama yang menjaringkan gol sendiri ketika aksi tersebut baru berlangsung selama 18 minit.
Krychowiak pula menjadi pemain pertama pada kempen Euro 2020 menerima layangan kad merah daripada pengadil Romania, Ovidiu Hategan selepas mengutip dua kad kuning pada minit ke-22 dan 62.
Dua situasi itu dilihat sebagai punca utama kekalahan Poland yang menyamakan kedudukan menerusi Karol Linetty sebelum Slovakia bangkit memenangi perlawanan menerusi Milan Skriniar tujuh minit selepas Krychowiak dibuang padang.
Dalam pada itu, pengendali Slovakia Stefan memuji usaha Slovakia dalam ‘meneutralkan’ Robert Lewandowski yang dianggap sebagai kunci kejayaan pasukannya meraih kemenangan.
“Saya berasakan seluruh pasukan bermain dengan baik, kami bersedia menghadapi secara Poland dan Lewandowski merupakan pemain penting bagi mereka.
“(Milan) Skriniar secara peribadi tidak mengawal Lewandowski tetapi dia berjaya melakukan tugas dengan baik ketika bertahan, sekali gus berjaya meneutralkan penyerang berbisa itu,” katanya. – AGENSI
No comments:
Post a Comment