AFP
KAPTEN England, Harry Kane bersama rakan sepasukan meraikan penyokong selepas menang 1-0 ke atas Croatia di Wembley, semalam. FOTO AFP.
London: Kapten England, Harry Kane berkata, pemain generasi muda negara itu melepasi ujian pertama dengan cemerlang apabila anak buah Gareth Southgate itu memulakan kempen Euro 2020 dengan kemenangan 1-0 ke atas Croatia.
Southgate mengadunkan pasukan England dengan bintang sedang meningkat naik dan Kane lega melihat mereka menangani tekanan bermain di kejohanan besar buat kali pertama.
Pada ketika pemain berpengalaman, Raheem Sterling menjaringkan gol kemenangan England pada babak kedua di Wembley, semalam, Kalvin Phillips, Declan Rice, Phil Foden, Mason Mount dan Tyrone Mings memainkan peranan tersendiri untuk memungut tiga mata.
Lima pemain itu masih baru dengan permintaan unik apabila bermain untuk England dalam sesuatu kejohanan, tambahan pula beban lebih berat dengan harapan tinggi bermain di depan penyokong sendiri di Wembley.
Kane tertarik dengan aksi pemain tengah Leeds, Phillips, yang melorongkan umpanan untuk Sterling menjaringkan gol bagi membolehkan Three Lions menang perlawanan pembukaan Kejuaraan Eropah buat kali pertama.
"Dia memang pintar," kata Kane kepada beIN Sports. "Dia baru saja pulih daripada kecederaan belaka dan bersungguh-sungguh dalam latihan untuk cergas pada perlawanan pertama.
"Dia dipilih dalam kesebelasan utama dan melakukan tugas menakjubkan manakala beberapa pemain lagi beraksi kali pertama buat England dalam kejohanan besar dan membuatkan negara mereka bangga."
Southgate mengangkat kening dengan keputusannya menurunkan bek kanan, Kieran Trippier sebagai pertahanan kiri dan meletakkan perancang sebelah kiri yang berada pada prestasi baik, Jack Grealish di bangku simpanan manakala Ben Chilwell dan Jadon Sancho tiada dalam barisan pemain.
Kane menyokong keputusan Southgate dan berkata, semua orang perlu memainkan peranan jika England mahu muncul juara Eropah buat kali pertama.
"Itulah sebabnya dia melakukan tugasnya manakala penyokong pula berdebat mengenainya. Ini adalah sebagai daripada bola sepak," katanya.
"Kami ada skuad menarik dan anda memahami semua orang ada pendapat sendiri mengenai siapa yang sepatutnya bermain.
"Tetapi, kami menunjukkan prestasi berpasukan menarik dan penting untuk kami menggunakan keseluruhan pasukan sepanjang kejohanan. Tidak mungkin pasukan sama diturunkan setiap minggu."
Kane muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini dan Anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2018, namun gagal memberi impak pada perlawanan menentang Croatia dan digantikan dengan Jude Bellingham.
Disiarkan pada: Jun 14, 2021 @ 8:47pm
No comments:
Post a Comment