AFP
LOEW (tiga dari kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO AFP
Munich: Juara dunia Perancis membuka kempen Euro 2020 dengan menentang Jerman dalam pertarungan dua kuasa besar Eropah awal pagi Rabu ini.
Skuad Perancis bimbingan Didier Deschamps berkunjung ke Munich dalam saingan Kumpulan F dengan dihantui kemelut dalaman susulan pertelagahan Kylian Mbappe dan Olivier Giroud. Tetapi mereka masih salah satu pasukan pilihan manakala Jerman berdepan tekanan dan masih bergelut memulihkan reputasi.
Selepas 15 tahun mengendalikan pasukan, jurulatih Joachim Loew yang akan meletak jawatan selepas tamat Kejohanan Eropah berazam mahu mengembalikan mentaliti 2014 ketika mereka menjuarai Piala Dunia.
Perancis tersingkir pada suku akhir di Brazil selepas tandukan Mats Hummels mengesahkan kemenangan Jerman di Stadium Maracana di Rio de Janeiro.
Les Bleus berjaya membalas dendam selepas Antoine Griezmann meledak dua gol pada separuh akhir Euro 2016 sebelum tuan rumah dikecewakan Portugal pada final.
DESCHAMPS (kanan) memantau sesi latihan Perancis di Clairefontaine-en-Yvelines, Paris. FOTO AFP
Perancis menang pertembungan terakhir mereka pada 2018 apabila Griezmann sekali menjaringkan dua gol ketika menang 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara di Paris.
Jerman berdepan tugas getir dalam kempen kali ini apabila menentang juara bertahan Portugal empat hari selepas melayan Perancis sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Hungary.
Suasana tegang menghantui skuad Perancis selepas Giroud yang meledak dua gol ketika menewaskan Bulgaria 3-0 dalam aksi pemanas badan terakhir merungut mengenai jumlah hantaran diterimanya, sesuatu yang tak disenangi Mbappe.
Pertahanan Chelsea, Antonio Ruediger turut memanaskan lagi pertembungan kedua-dua pasukan apabila mengakui Jerman perlu 'sedikit kotor' ketika menyekat serangan balas pantas Perancis.
"Jerman mempunyai beberapa pemain muda yang sangat bagus dan saya tak percaya mereka selemah disangkakan," kata pertahanan Perancis, Benjamin Pavard yang beraksi bersama Bayern Munich.
Loew, 61, semakin terdesak untuk menghadiahkan Jerman gelaran Eropah keempat sekali gus memulihkan reputasinya selepas tersingkir awal pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.
Tiga tahun selepas tragedi di Russia, Loew berharap barisan pertahanannya dapat menyekat serangan trio berbisa Perancis yang diterajui Mbappe, Griezmann dan Karim Benzema.
Disiarkan pada: Jun 14, 2021 @ 10:26am
No comments:
Post a Comment