Ad

Thursday, 5 June 2014

Barkley permata baharu England


 

BARKLEY tampil dengan aksi cemerlang pada aksi England menentang Ecuador di Miami kelmarin. England dan Ecuador seri 2-2.

MIAMI, Amerika Syarikat - Pengurus England, Roy Hodgson memuji aksi pemain tengah mudanya, Ross Barkley yang menjadi salah seorang watak penting ketika pasukan itu seri 2-2 ketika menentang Ecuador pada perlawanan persahabatan di sini Rabu lalu.

Bagaimanapun, beliau percaya masih ada ruang buat pemain tengah Everton itu untuk memperbaiki beberapa kelemahan dan mempelajari sesuatu.

"Ross Barkley sedang melalui detik yang mengagumkan. Saya fikir beliau masih perlu belajar untuk menguasai bola.

"Adalah suatu yang normal bagi pemain muda sepertinya yang pastinya gembira apabila diberi peluang beraksi dalam tempoh yang agak panjang untuk aksi pertama," katanya.

Aksi menarik yang dipamerkan pemain berusia 20 tahun itu menyebabkan peminat bola sepak England mula menyamakan aksi pemain tersebut dengan legenda mereka, Paul Gascoigne yang beraksi pada Piala Dunia 1990.

Bakat yang ada pada Barkley terserlah pada perlawanan menentang Ecuador itu apabila dia melakukan larian yang baik sebelum bijak menghantar bola kepada Rickie Lambert yang berjaya menjaringkan gol.

Ditanya sama ada Barkley akan menjadi nadi tengah utama England, Hodgson kelihatan kurang selesa malah menyifatkan media memberi publisiti berlebihan terhadap pemain tersebut.

"Setiap kali saya hadir pada sidang media, mereka selalu obses mengenai seseorang pemain. Saya sudah bersedia dan seperti yang selalu katakan semua pemain ada peluang untuk membuat penampilan pada kejohanan kali ini.

"Oxlade-Chamberlain dan Phil Jones cukup menakjubkan, Jack Wilshere juga mempamerkan aksi yang terbaik dan Lambert menjaringkan gol yang mengujakan. Mereka berempat sudah berada dalam kepala saya," ujarnya.

Bagaimanapun, apa yang meresahkan Hodgson adalah kecederaan ligamen lutut yang dialami Oxlade-Chamberlain yang mungkin menyebabkannya terlepas kejohanan Piala Dunia kali ini.

RUJUKAN- KOSMO ONLINE 6.6.14

No comments:

Post a Comment