2014/06/13 - 06:55:52 AM
Dua gol Neymar julang Brazil
atasi Croatia
PEMAIN dan pegawai Brazil
menyambut kejayaan selepas menewaskan Croatia 3-1 dalam perlawanan pembuka
tirai Piala Dunia 2014 di Sao Paulo sebentar tadi. Gambar kecil, Neymar
meraikan kejayaan sejurus berjaya melakukan sepakan penalti. - Foto AP
Brazil 3 Croatia 1
SAO PAULO: Budak poster Brazil,
Neymar meledakkan dua gol sebelum Oscar melengkapkan jaringan ketiga yang
menghadiahkan tuan rumah kemenangan dramatik 3-1 ke atas Croatia pada
perlawanan pembukaan Piala Dunia, Kumpulan A di Corinthians Arena.
Begitupun, jaringan kedua
peribadi bintang Barcelona itu pada minit ke-72 menerusi sepakan penalti
dianggap penuh kontroversi apabila pengadil dari Jepun, Yuichi Nishimura
menyalahkan kapten Croatia, Dejan Lovren kerana menjatuhkan Fred sekalipun
pemain itu dilihat sengaja merebahkan badan.
Apa pun, jaringan pertama
Neymar yang dianggap bintang harapan tuan rumah pada minit ke-29 jelas menjadi
pencetus utama kebangkitan Brazil selepas Croatia terlebih dulu di depan hasil
jaringan sendiri Marcelo pada minit ke-11.
Selain menjadi gol pertama Piala
Dunia kali ini, Marcelo yang juga tonggak gergasi Sepanyol, Real Madrid turut
merakamkan rekod apabila bergelar pemain pertama dari Brazil yang meledak
jaringan sendiri sepanjang kempen Piala Dunia.
Jentera pertahanan Brazil
nampak goyah apabila Ivica Olic mudah berjaya melepasi beberapa pertahanan
lawan termasuk kapten, Thiago Silva, sebelum melepaskan sepakan lintang rendah
yang dikuis Nikica Jelavic sebelum Marcelo menampannya ke gawang sendiri
membuatkan penjaga gol, Julio Cesar sekadar terpaku.
Namun, hasil gerakan cantik
bersama Oscar, Neymar kembali mencetus riuh penyokong juara dunia lima kali itu
menerusi gol pertamanya apabila rembatan rendah dari jarak 25 meter gagal
dibaca penjaga gol, Stipe Pletikosa.
Dan ketika Croatia terdesak
memburu jaringan penyamaan, Oscar yang juga bintang Chelsea menampilkan
magisnya apabila dengan mudah memperdaya tiga pemain lawan sebelum melepaskan
rembatan yang tepat ke gawang lawan pada minit terakhir perlawanan.
Dua gol Neymar pada perlawanan
kali ini menambah jumlah jaringannya buat Brazil kepada 33 dalam 50 penampilan.
Kemenangan turut meredakan
sedikit ketegangan yang melanda negara Amerika Selatan itu sebelum kejohanan
terulung itu bermula apabila berlaku beberapa siri rusuhan keganasan yang
membantah wang yang digunakan kerajaan bagi menganjurkan Piala Dunia. - Reuters
No comments:
Post a Comment