Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Malaysia
mengalami kekalahan kedua pada kejohanan hoki Piala Dunia, kali ini kecundang
kepada pasukan No. 4 dunia, Belgium 6-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan A di
Stadium GreenFields, The Hague, Belanda, semalam.
Skuad bimbingan Muhammad Dharma
Raj Abdullah itu, bagaimanapun, terlebih dahulu membolosi gawang lawan apabila
berjaya meledakkan gol pembukaan perlawanan yang disempurnakan oleh Razie Abd.
Rahim menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kelima untuk mendahului 1-0.
Namun, kegembiraan Malaysia
tidak kekal lama apabila Belgium menyamakan kedudukan 1-1 selepas pasukan yang
menyarung jersi serba merah itu dihadiahkan pukulan penalti .
Jaringan disempurnakan dengan
baik oleh Tom Boon pada minit ke-14, setelah bola mengenai tangan pemain
pertahanan pasukan negara.
Malaysia menghangatkan
persaingan apabila kembali berada di depan setelah pengadil memberi pukulan
sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh Razie untuk mendahului 2-1
pada minit ke-19.
Bagaimanapun, selang empat minit
berikutnya, Belgium sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Boon hasil
pukulan sudut penalti, dan pemain sama menjadi duri dalam daging buat skuad
kebangsaan apabila meledakkan hatrik hasil jaringan padang pada minit ke-31
untuk menjadikan kedudukan 3-2 sehingga babak pertama berakhir.
Sebaik perlawanan dimulakan
selepas rehat, bermulalah detik ngeri buat Malaysia apabila menyaksikan gawang
mereka yang dikawal S. Kumar dibolosi sebanyak tiga kali.
Belgium tidak mengambil masa
lama untuk merobek pintu gol pasukan negara buat kali keempat apabila pukulan
sudut penalti yang dihadiahkan kepada mereka berjaya disempurnakan dengan kemas
oleh Tanguy Cosyns untuk gol keempat pada minit ke-37.
Benteng pertahanan Malaysia
yang beraksi longlai dihukum buat kali kelima apabila Boon menggegarkan gawang
Malaysia untuk gol keempat peribadinya di Piala Dunia pada minit ke-45, sekali
gus menjadikan kedudukan semakin menjarak kepada 5-2.
Serangan Belgium tidak terhenti
setakat itu sahaja, setelah memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka
dengan gol keenam hasil jaringan padang John-John Dohmen pada minit ke-56.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140603/su_03/Malaysia-alami-kekalahan-kedua#ixzz33WoQxfvC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment