Ad

Saturday, 7 June 2014

Pahang tampil dalam kelas tersendiri

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
PARA pemain Pahang bersorak kegembiraan selepas berjaya menjulang gelaran juara Piala FA hasil kemenangan 2-1 ke atas Felda United pada final di Stadium Shah Alam, Selangor malam tadi.

PAHANG tampil dalam kelas tersendiri apabila memusnahkan impian Felda United pada perlawanan akhir Piala FA 2014 yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Pada perlawanan yang disaksikan 60,000 penoton itu, Pahang menang 2-1 menerusi jaringan Mohd. Faizol Hussaini pada minit ke-79 dan Dickson Nwakaeme (88).

Pada aksi malam tadi, Pahang bermula hambar apabila dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Felda United pada minit ke-22 menerusi Edward Wilson Junior namun, Tok Gajah bangkit gagah pada separuh masa kedua untuk memusnahkan impian lawan mereka itu.

Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama lapan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Pahang.

Kejayaan itu juga membolehkan Pahang layak untuk beraksi dalam Piala AFC musim depan.

Pada perlawanan malam tadi, Pahang yang dilabel pasukan pilihan bermula hambar, namun selepas mendapat rentak, mereka dilihat garang melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan.

Penyerang import berbisa skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme terlebih dahulu menguji kekebalan penjaga gol The Fighters, Farizal Harun tetapi percubaannya tersasar pada minit kelima.

Tok Gajah terus mempamerkan persembahan agresif dengan melancarkan serangan bertali arus dan mereka hampir membuka jaringan menerusi bintang Argentina, Matias Conti.

Bagaimanapun, Conti gagal menendang masuk bola ke gawang Felda hasil hantaran kemas daripada pemain sayap Pahang, R. Gopinathan pada minit ke-16.

Ketika skuad Tok Gajah ghairah mencari gol pembukaan, saat-saat yang dinantikan Felda United akhirnya tiba apabila Edward Wilson Junior memastikan pasukannya mendahului perlawanan pada minit ke-22.

Jaringan itu hadir apabila penyerang kelahiran Liberia itu bijak meloloskan diri menerusi gerakan satu dua bersama perancang, Indra Putra Mahayuddin sebelum mudah menolak bola dan menewaskan penjaga gol Pahang, Md Khairul Azhan Khalid.

Bersambung di babak kedua, Felda United tidak memperlahankan tempo untuk terus mencari kedudukan lebih selesa dan hasilnya, Junior hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-49.

Begitupun, percubaan tepat Junior terkena tiang dan kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan berjaya mengeluarkan bola tersebut daripada kawasan bahaya.

Pahang hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Conti tetapi penjaga gol Felda, Farizal tenang menyelamatkan keadaan pada minit ke-52.

Namun, pencaturan Zainal memasukan Mohd. Faizol Hussaini akhirnya berbaloi apabila pemain kelahiran Johor Bahru itu meledak gol penyamaan pada minit ke-79.

Faizol yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Johor Darul Takzim 1-0 pada separuh akhir kedua Piala FA, berjaya melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan oleh Farizal.

Skuad Tok Gajah melengkapkan kebangkitan bergaya apabila Dickson menjaringkan gol kemenangan Pahang pada minit terakhir perlawanan untuk mengesahkan kemenangan 2-1 memihak kepada Pahang.

Kali terakhir Pahang menjulang Piala FA ialah pada tahun 2006.

RUJUKAN-http://www.kosmo.com.my/kosmo 8.6.14

No comments:

Post a Comment