Ad

Monday, 9 June 2014

PDRM kukuh cengkaman pendahulu Liga Perdana

 
PEMAIN PDRM, Ashfaq Ali (tengah) cuba melepasi kawalan penjaga gol DRB Hicom, M. Jibrail Kamaron dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya semalam. ATM menang 2-1. - UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz
PETALING JAYA - PDRM semakin hampir untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan DRB-Hicom 2-1 di Stadium Petaling Jaya petang semalam.

Skuad Dollah Salleh itu seharusnya menang dengan jaringan lebih besar tetapi gagal memanfaatkan peluang untuk menambah gol ketika DRB-Hicom terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan berbaki 25 minit.

PDRM memiliki peluang terbaik untuk berada di hadapan pada minit ke-23 apabila Ashfaq Ali berjaya melakukan hantaran terus kepada Bobby Gonzalez namun percubaan lemahnya berjaya diselamatkan penjaga gol, M. Jibrail Kamaron.

Kealpaan benteng pertahanan PDRM dihukum pada minit ke-29 apabila pemain import DRB-Hicom, Ogunboye Iyanu Ezekiel meletakkan pasukan itu di hadapan selepas rembatan derasnya dari sudut kanan kotak penalti menewaskan Azizon Abd. Kadir.

Dua minit kemudian Ashfaq Ali hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya sekadar melewati palang gol tetapi Afif Aminuddin menyamakan kedudukan lapan minit kemudian selepas menolak masuk sepakan sudut Mohd. Fauzi Abd. Majid.

Pada minit ke-41, pemain import PDRM, Muhammadou Sumareh berjaya menjaringkan gol kedua menerusi gerakan solo menarik untuk menewaskan penjaga gol DRB-Hicom.

DRB-Hicom dirundung malang pada minit ke-65 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Ahmad Faizal Sumar dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Dollah melahirkan kekecewaan dengan prestasi anak-anak buahnya yang gagal memanfaatkan banyak peluang untuk menambah jaringan.

Katanya, 15 minit pertama perlawanan menyaksikan pasukannya seolah-olah hilang punca dan gagal beraksi dengan baik sehingga menyebabkan mereka ketinggalan sebelum bangkit semula untuk meraih tiga mata penuh.

"Separuh masa kedua baru kami dapat cipta banyak peluang selain pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain tetapi pemain kami pula takut untuk menyerang dan lebih banyak bertahan," katanya.

Sementara itu, dua pasukan dari utara, Kedah dan Pulau Pinang turut mengukuhkan kedudukan masing-masing selepas mengutip mata penuh.

Kedah menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Darul Aman manakala Pulau Pinang menewaskan kelab Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) 3-1 di Stadium Bandaraya.

Dalam perlawanan lain, SPA mengikat Negeri Sembilan 3-3 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140610/su_04/PDRM-kukuh-cengkaman-pendahulu-Liga-Perdana#ixzz34BaAyM00

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment