JURULATIH Luiz Felipe Scolari
memeluk mesra Neymar pada perlawanan pembuka tirai Piala Dunia 2014 menentang
Croatia, di Sao Paulo, pagi tadi. - Foto REUTERS
SAO PAULO: Jurulatih Brazil,
Luiz Felipe Scolari menghambur pujian ke atas Neymar selepas penyerang bintang
itu meledak dua gol membantu juara dunia lima kali itu bangkit melakar
kemenangan 3-1 ke atas Croatia pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala
Dunia 2014, pagi ini.
“Sesuatu yang harus kami
sentiasa pastikan adalah supaya Neymar gembira bermain bola. Dia seorang pemain
yang istimewa,” kata Scolari yang sebelum itu menyaksikan skuad bimbingannya
ketinggalan seawal minit ke-11 selepas Marcelo menampan bola masuk ke dalam
gawang sendiri.
Neymar kemudian berjaya
menyamakan kedudukan pada minit ke-29 sebelum menyumbat sepakan penalti
kontroversi pada babak kedua yang meletakkan Brazil di depan sebelum Oscar
melengkapkan jumlah jaringan.
Bintang Barcelona yang
dinamakan pemain terbaik perlawanan itu berada dalam tekanan amat tinggi dengan
harapan besar peminat yang mengharapkan negara itu mampu menjulang Piala Dunia
buat pertama kali di laman sendiri.
“Dia tidak memerlukan kamu
semua (media) untuk memaksanya menjadi pemain terbaik dunia. Tanggungjawabnya
adalah bermain untuk Brazil dan itulah yang dilakukannya hari ini,” kata
Scolari.
Neymar dalam pada itu
menyifatkan kemenangan itu lebih daripada yang dimimpikan atau dibayangkannya.
“Pujian adalah milik
keseluruhan pasukan, yang kekal tenang dan bangkit selepas ketinggalan dan
menang,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih
Croatia, Niko Kovac menggambarkan pengadil perlawanan dari Jepun, Yuichi
Nishimura sebagai ‘kurang berpengalaman’ dan menyifatkan penalti yang dikenakan
kepada pasukannya sebagai tidak masuk akal.
“Jika sesiapa melihatnya
sebagai penalti, biarkan mereka mengangkat tangan mereka. Saya tidak akan
mengangkat tangan saya. Saya tidak dapat melihatnya. Jika kamu meneruskan
perkara seperti ini, akan ada 100 penalti ketika Piala Dunia,” katanya. –
Agensi
BERITA HARIAN ONLINE 13.6.14
No comments:
Post a Comment