PENGADIL, Mohd. Nafeez Abdul
Wahab mengarahkan pemain Selangor, Paulo Rangel (kiri) keluar padang setelah
dilayangkan kad merah ketika perlawanan Liga Super antara Selangor dengan
Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
- UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor
KUALA LUMPUR - Selangor
kehilangan penyerang berbisa, Paulo Rangel yang menerima kad merah namun masih
mampu membelasah Terengganu 4-1 dalam perlawanan kontroversi di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi untuk mengukuhkan
kedudukannya di persada Liga Super.
Selangor kini mengumpul 37 mata
ketika kempen berbaki empat perlawanan, namun disaingi oleh pasukan di tangga
kedua, Johor Darul Ta'zim yang menang besar di tempat sendiri.
Penyerang dari Brazil, Rangel
meletakkan Selangor di depan pada awal permainan menerusi tandukan, namun
tercetus kontroversi apabila pemain itu dilayangkan kad merah kerana didakwa
terlebih dahulu menyiku pertahanan tuan rumah, Mazlizam Mohamad sedangkan
jaringannya disahkan oleh pengadil.
Kehilangan seorang pemain
bagaimanapun tidak menjejaskan rentak pelawat sebaliknya mereka terus selesa
mendahului tuan rumah apabila penyerang, Abdul Hadi Yahya mudah menyempurnakan
tendangan penalti pada minit ke-47 selepas dia dijatuhkan.
Tuan rumah mengatur serangan
dalam usaha mereka kembali bersaing dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi
penyerang import, Moustapha Dabo pada minit ke-51 yang berpunca daripada
tendangan sudut.
Usaha Terengganu untuk
menyamakan kedudukan terus terbantut apabila pemain tengah Selangor, S. Veenod
menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-88 sebelum S. Kunanlan
menghapuskan sisa-sisa perjuangan tuan rumah dengan gol keempat pada masa
kecederaan.
Sementara itu Johor Darul
Ta'zim (JDT) terus memberikan saingan kepada Selangor apabila membenam Sime
Darby 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun
terpaksa menunggu hingga minit ke-44 untuk memecah benteng pertahanan lawan
menerusi tendangan Amri Yahyah dari luar kotak penalti.
Anak buah Bojan Hodak tidak
menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan mereka apabila memperoleh gol kedua
pada minit ke-51 menerusi pemain dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang
menyempurnakan umpanan Asraruruddin Putra Omar.
Diaz sekali lagi menjadi wira
pasukan apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-80, hasil umpanan
rakan senegara, Luciano Gabriel Figueroa.
Sementara itu, Pahang yang
masih segar dengan kejayaan merangkul Piala FA bagaimanapun tersentak apabila
hanya mampu seri 2-2 dengan pasukan kedua tercorot, ATM di Stadium Selayang.
Kesilapan Ahmad Fauzi Shaari
yang tertanduk bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-20 hasil bola sepakan
lintang Saiful Nizam Miswan meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan.
ATM menyamakan kedudukan hasil
tindakan bijak Juan Manuel Arostegui mengambil kesempatan kelekaan Damion
Stewart pada minit ke-56 dengan mencuri bola di dalam kotak penalti dan
melepaskan rembatan kencang menewaskan Khairul Azhan Mohd. Khalid.
Sebelas minit kemudian, Saiful
Nizam kembali meletakkan Pahang di hadapan pada minit ke-67 yang memanfaatkan
bola sepakan sudut Azidan Sarudin sebelum menanduk masuk ke dalam gawang The
Gladiators.
Namun, semangat juang ATM sukar
disekat apabila sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan melalui sentuhan
pertama Bruno Martelotto yang masuk selaku pemain gantian pada minit ke-77
apabila menolak masuk bola hantaran Venice Elphi Danny Kaya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140611/su_01/Selangor-kekal-pendahulu#ixzz34HPnCByi
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment