Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
PENYERANG ATM, Bruno Marteloto
(kanan) masih belum dapat bermain akibat kecederaannya masih belum pulih
sepenuhnya.
KUALA LUMPUR - Pahang dilihat
sedang berada pada prestasi terbaik dan berkeyakinan tinggi ketika ini, yang
bermakna adalah sesuatu yang malang bagi mana-mana pasukan untuk bertemu juara
Piala FA itu ketika ini.
Dan, pasukan malang itu ialah
ATM, seperti yang turut diakui oleh jurulatihnya, B. Sathianathan.
Bekas jurulatih kebangsaan itu
mengakui pertemuan menentang juara Piala FA, Pahang malam ini di Stadium Majlis
Perbandaran Selayang bukanlah masa yang terbaik untuk anak-anak buahnya memburu
kemenangan.
Malah, ibarat 'sudah jatuh
ditimpa tangga' apabila jurulatih berusia 56 tahun itu mendapat berita kurang
enak ekoran ketiadaan seorang lagi pemain tonggak membuatkan skuad The
Gladiators berada dalam kedudukan sukar untuk menghadapi perlawanan penting itu.
"Ini masa yang tidak
sesuai untuk kami bertemu dengan Pahang di mana mereka kini berada di puncak
prestasi dan bermain dengan penuh keyakinan dan sedang bersemangat.
"Ditambah pula semalam,
saya dapat tahu D. Christie Jayaseelan terpaksa dibedah di bahagian lutut.
Hilang satu lagi tonggak kami. Bruno Martelotto pun baru pulih 80 peratus. K.
Reuben juga dibedah. Selepas tiga perlawanan, kami mengalami banyak kecederaan
yang mengakibatkan Amirizwan Taj Tajuddin juga direhatkan.
"Antara pemain yang cedera
seperti Spase Dilevski manakala bekas pemain Harimau Muda, Affize Faisal Mamat
digantung dua perlawanan dan penyerang utama Marlon Alex James masih belum
pulih daripada kecederaan.
"Kami semakin kurang
pemain berkaliber. Saya harap pemain yang akan diturunkan nanti dapat
mempamerkan aksi menarik untuk menumpaskan Tok Gajah dan demi menghidupkan jiwa
kami di dalam Liga Super," katanya semalam.
Dalam perkembangan lain, Johor
Darul Ta'zim yang memiliki 32 mata kini mampu memberi cabaran untuk merampas
takhta sebagai pendahulu liga apabila dijadualkan bertemu dengan Sime Darby di
Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.
Pendahulu liga, Selangor yang
mengumpul 34 mata pula bakal berhadapan penghuni tempat ketiga, Terengganu,
yang kini berada tiga mata di belakang Red Giants di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Pengendali Kelantan, George
Boateng pula mahu anak-anak buahnya melupakan kegagalan demi memberi tumpuan
kepada kempen Liga Super apabila bertemu Lions XII di Stadium Sultan Muhammad
IV, Kota Bharu.
"Kami perlu beri tumpuan
kepada aksi menentang Lions XII selepas gagal melayakkan diri ke perlawanan
akhir Piala FA.
"Tinggal lima perlawanan
lagi, jadi kami mahu memberi tumpuan kepada semua perlawanan dan kami mahu
menang seberapa banyak perlawanan yang boleh untuk memperbaiki kedudukan dalam
liga," katanya.
Sarawak pula terpaksa
berhadapan dengan masalah besar apabila skuad itu tempang dengan ketiadaan lima
pemain tonggak utama beraksi menentang T-Team di Stadium Negeri, Kuching.
Penghuni tercorot, PKNS FC yang
baru-baru ini merehatkan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan ekoran
prestasinya yang hambar berhadapan dengan Perak di Stadium Shah Alam.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140610/su_01/Senjata-ATM-tumpul-menjelang-pertemuan-dengan-Tok-Gajah#ixzz34C1T7ZcI
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment