ROBIN van Persie menjadi
harapan Belanda untuk memecahkan tembok kental Sepanyol serta penjaga golnya,
Iker Cassilas (gambar tengah) menerusi serang balas apabila kedua-dua pasukan
bertemu esok. - AFP
SALVADOR - Sepanyol hadir
bersama ingatan manis muncul juara empat tahun lalu apabila mereka akan
memulakan usaha mempertahankan Piala Dunia dengan menentang naib juara 2010,
Belanda di Salvador dalam perlawanan tumpuan Kumpulan B (esok, 3 pagi waktu
Malaysia).
Sepanyol, yang juga juara
Kejohanan Eropah 2008 dan 2012, tiba di Brazil bersama 16 pemain daripada skuad
empat tahun lalu di Afrika Selatan, kumpulan pemain sama paling ramai untuk
Piala Dunia berikutnya oleh mana-mana juara dunia, dengan ramai daripadanya
masih mempunyai parut luka akibat pertembungan getir dengan Belanda pada 2010.
Sepanyol menguasai perlawanan
di Johannesburg dan menerima banyak terjahan-terjahan keras oleh barisan
pertahanan Belanda, tetapi peminat yang akan berada di Stadium Fonte Nova akan
mengharapkan untuk menyaksikan lebih banyak permainan menyerang untuk pertemuan
kali ini apabila gerakan hantaran cantik Xavi, Andres Iniesta dan David Silva
akan bertembung dengan serang balas pantas Belanda yang diketuai oleh Arjen
Robben dan Robin van Persie.
Skuad La Roja yang dibimbing
oleh Vincent Del Bosque, yang diperkuatkan kali ini oleh penyerang hebat
kelahiran Brazil, Diego Costa, akan memulakan aksi mereka selaku pasukan
pilihan, yang mana jika muncul juara Piala Dunia kali ini akan menjadikan
mereka pasukan Eropah pertama berbuat demikian di benua Amerika.
Banyak kelebihan diperoleh
dengan adanya Costa, yang berasal dari Lagarto di timur laut Brazil dan
keluarganya akan datang 350 kilometer jauhnya dari Salvador untuk melihat dia
menentang Belanda. Kehadirannya dalam kesebelasan utama Sepanyol akan memberi
nilai tambah kepada pasukannya yang sering kali bermain tanpa penyerang tengah
tulen.
Begitu menonjol dalam kempen La
Liga musim lalu apabila menjaringkan 36 gol untuk membantu Atletico muncul
juara, Costa telah melenting apabila jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari
mendakwa telah menawarkannya peluang bermain dalam Piala Dunia.
Costa menegaskan, hanya
Sepanyol yang menawarkannya tempat.
Costa akan menjadi teraju
kepada barisan pemain memang dikenali dengan Cesar Azpilicueta, Sergio Ramos,
Gerard Pique dan Jordi Alba akan berada di bahagian pertahanan di depan penjaga
gol, Iker Casillas manakala Xabi Alonso, Sergio Busquets, Silva, Xavi dan
Iniesta di bahagian tengah untuk membantu Costa memecahkan barisan pemain
Belanda yang diatur untuk membuat serang balas.
Taktik Belanda di bawah
bimbingan Louis van Gaal telah menjadi perdebatan hangat menjelang kejohanan
selepas dia memilih untuk menggunakan formasi 5-3-2 berbanding aturan tradisi
4-3-3, selepas kehilangan tonggak tengah, Kevin Strootman akibat kecederaan dan
memilih untuk bermain lebih garang.
"Buat masa ini saya tidak
fikir kami boleh bermain tika taka. Serang balas ialah senjata yang sangat
bahaya yang sudah pasti akan kami gunakan ketika kejohanan ini," kata
Arjen Robben, kepada laman web pasukan Belanda Ons Oranje.
Sementara Van Gaal turut
menyandarkan harapan kepada pemain-pemain muda, pasukannya juga akan dibarisi
pemain-pemain berpengalaman termasuk Wesley Sneijder yang akan memainkan
peranan penting selaku pengumpan kepada Robben dan Van Persie.
Sneijder akan bermain di
hadapan tenaga tengah Nigel de Jong - yang bernasib baik kerana dapat kekal di
dalam padang pada perlawanan akhir 201 selepas melakukan sepakan ala kung fu ke
atas Xabi Alonso - dan Jonathan de Guzman jika cergas. Ron Vlaar akan mengetuai
bahagian pertahanan bersama Daley Blind, anak Danny yang merupakan jurulatih
Belanda pada 2016.
Prestasi Van Persie dan
kecergasan sangat penting dalam perancangan Van Gaal. Ketua pasukannya kurang
menyerlah setelah mengalami kecederaan dalam kempen liga musim lalu dan
walaupun Van Persie berkata dia cergas untuk Piala Dunia, dia bagaimanapun
kelihatan tidak begitu selesa sepenuhnya sewaktu sesi latihan. - REUTERS
No comments:
Post a Comment