KHAMIS, 3 MAC
2016 @ 10:23 PM
Oleh Helmi
Talkah helmi.talkah@bh.com.my KUALA LUMPUR: Walaupun tidak beraksi dalam
perlawanan kompetitif sejak tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam
saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, 17 November lalu, ranking
skuad Harimau Malaysia melonjak lima anak tangga ke-166 dunia.
Ranking
terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini,
Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mengumpul 129 mata, sekali gus
memperbaiki kedudukan sebelum ini di tangga ke-171 dunia. Kedudukan terbaharu
itu sudah pastinya sedikit sebanyak melegakan Kim Swee kerana antara salah
tugas utamanya adalah memastikan Malaysia berada dalam kelompok 140 dunia dalam
tempoh dua tahun sejak dilantik menjadi pengendali tetap Harimau Malaya,
Januari lalu.
Anak buah Kim
Swee berpeluang untuk memperbaiki kedudukan itu andai mencatat keputusan
positif pada pertemuan dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan A
kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah, Jeddah, 24
Mac ini dan menentang Macau dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat
Melaka empat hari kemudian. Dalam ranking Asia, Malaysia menduduki tangga
ke-32, dengan Iran gah di kedudukan teratas diikuti Jepun, Korea Selatan dan
Arab Saudi. Belgium pula kekal di ranking pertama dunia mengatasi Argentina
(kedua), Sepanyol (ketiga) dan juara Piala Dunia 2014 Jerman (keempat).
No comments:
Post a Comment