Oleh Aziman
Rosdiaziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur:
Misi memperbaiki ranking negara yang kini menduduki tangga ke-171 dunia menjadi
agenda utama pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee apabila mengatur
perlawanan antarabangsa dengan Macau pada 29 Mac ini.
Perlawanan yang
akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka itu pasti menguji mental dan
fizikal anak buahnya kerana ia berlangsung lima hari selepas anak buahnya
menentang Arab Saudi di Jeddah pada aksi terakhir Kumpulan A Kelayakan Piala
Dunia 2018/Piala Asia 2019.
“Selepas
bertemu Arab Saudi di Jeddah, kita akan tiba di Kuala Lumpur pada 25 Mac dan
terus ke Melaka bagi menghadapi Macau. Jadi dengan adanya perlawanan dengan
Macau, saya berharap kita mampu mendapatkan kemenangan.
“Perlawanan ini
penting bagi memastikan ranking negara tidak terus ketinggalan,” kata Kim Swee.
Kim Swee bekas
jurulatih Harimau Muda A sebelum ini dilantik dengan tiga misi utama iaitu
layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019, menjuarai Piala AFF tahun ini serta
memperbaiki ranking negara ke kelompok 140 pasukan terbaik dalam tempoh dua
tahun.
Bagaimanapun
mungkin ada pihak yang menganggap Kim Swee mahu mengambil langkah selamat
dengan mengatur perlawanan dengan Macau yang menduduki tangga ke-195 dunia
namun pengendali itu mempunyai alasan tersendiri.
“Kita sudah
cuba menghubungi beberapa pasukan tapi kebanyakan pasukan terbabit pada hari
perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019.
“Macau tidak
beraksi dalam pusingan kelayakan itu dan mereka juga sudah memaklumkan
persetujuan lebih awal berbanding Nepal yang turut menyatakan minat sebelum
ini.
“Kita perlu
segera menetapkan siapa pasukan lawan kerana ia memudahkan persiapan kita. Bagi
saya Macau bukan lawan yang mudah kerana mana-mana pasukan mampu menghadirkan
cabaran kepada pasukan kita,” katanya.
Senarai nama
pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia
dijangka akan diumumkan Kim Swee pada 13 Mac ini.
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/119497#sthash.TNqRaAlV.dpuf
No comments:
Post a Comment