Pada hari ini
dalam tahun 1966, satu rundingan tiga segi antara Malaysia-Filipina-Thailand
telah berlangsung di Bangkok, Thailand. Persidangan peringkat pegawai tinggi
tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan pemulihan kembali Persatuan
Negara-negara Asia Tenggara (ASA) yang telah telah lumpuh sejak tahun 1963
akibat pergeseran politik antara Filipina dan Malaysia berikutan gagasan
penubuhan Malaysia menjadi kenyataan. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara
(ASA) telah ditubuhkan dalam tahun 1962 bagi menggalakkan kerjasama di bidang
ekonomi, kemasyarakatan dan kebudayaan antara ketiga-tiga negara Thailand,
Filipina dan Malaya pada waktu itu. Perwakilan Malaysia yang menghadiri
persidangan tersebut ialah pengawal perdagangan dari Kementerian Perusahaan dan
Perdagangan Encik Abdul Ghani Mohd. Nor, Jurucakap Kementerian Luar Encik Ahmad
Nordin, Setiausaha Kebangsaan Malaysia untuk ASA Encik Walter Ayathuray dan
diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Luar Negeri Encik Hussain Mohd.
Osman. Persidangan tiga negara tersebut yang akan membincangkan Pemulihan
Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASA) dipengerusikan oleh Putera Wan,
Pemangku Perdana Menteri Thai. Persidangan ini antara lain membincangkan
menghidupkan kembali rancangan-rancangan ASA yang telah tergendala itu. Antara
rancangan-rancangan tersebut ialah penubuhan Tabung ASA, menubuh syarikat
penerbangan dan perkapalan dan memajukan
pelancongan antara negara-negara ASA. Pada akhir persidangan peringkat pegawai-pegawai
tinggi ketiga-tiga negara tersebut satu kenyatan bersama telah dikeluarkan
ialah satu persidangan peringkat Menteri Luar Negara-negara ASA akan diadakan
dalam bulan April 1966. Dengan berlangsungnya persidangan tiga negara anggota
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara tersebut iaitu yang pertama semenjak
tahun 1963 telah berjaya memulihkan kembali pakatan tiga negara tersebut dan
memungkinkan kerjasama dan persefahaman yang lebih erat pada masa hadapan.
Sumber- http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment